Thursday, July 31, 2008

Jom meriahkan FIESTA DAIE...

Sekarang Nurulimanz sudah berada di tahun akhir pengajian sarjana muda di Uni Perdana. Maka seharusnya Nurulimanz melepaskan secara berhemah segala tanggungjawab yang ada kepada mereka yang selayaknya. Dalam lajnah dakwah mahupun persatuan mahasiswa, Nurulimanz mengambil sikap 'bersahaja namun berbisa'. Eloklah sekiranya mereka yang baharu ini mengambil tempat dan peranan yang dikosongkan oleh brother dan sister mereka. Walaupun di luar lingkaran kepemimpinan, Nurulimanz akan sentiasa mencurahkan segala pengalaman dan idea dakwah sebagai pencetus kepada gerakan-gerakan yang mendatang. Kepada mereka yang sudi menerima pengalaman dan idea ini, Nurulimanz ucapkan ribuan terima kasih. Moga-moga ia bermanfaat kepada ummah seluruhnya. Pada kali ini, Nurulimanz ingin mengutarakan idea yang (mungkin) baharu bagi mereka yang ingin melaksanakan dakwah secara santai dan menghiburkan. Memperkenalkan FIESTA DAIE...Ha!!! Ada apa dengan FIESTA DAIE? Jom kita tengok...
  • Movie@FD : Sesiapa sahaja minat menonton movie. Tambah-tambah mereka yang bergelar muda-mudi. Tetapi menyedihkan, movie dakwah amat jarang mendapat perhatian. Maka Movie@FD mengambil peranan bagi menyuburkan rasa cinta kepada movie dakwah. Selain tayangan movie, forum ringkas, pertandingan mencipta movie ringkas berunsurkan dakwah dan penyebaran risalah juga boleh membantu Movie@FD mencapai objektifnya.
  • Concert@FD : Di tengah kesuburan rancangan realiti tv yang berbentuk hiburan muzik yang melalaikan, dakwah tidak harus berdiam diri. Maka Concert@FD tampil dengan revolusi muzik kontemporari yang mendidik jiwa. Bukan sekadar konsert seperti kebiasaan, ia juga tampil dengan nasyid berbahasa inggeris, cina dan tamil yang disampaikan oleh penyanyi muallaf, sesuai dengan kemajmukan Malaysia ini.
  • Frame@FD : Terlalu banyak gambar atau lukisan yang memberi gambaran tentang Islam dan elemen-elemen yang terdapat di dalamnya. Cuma ia tidak diketengahkan dalam masyarakat majmuk. Contoh gambar atau lukisan itu ialah kalimah 'Allah' atau seumpamanya yang terakam pada alam, kaligrafi khat, poster Islamik, kartun Islamik, gambar sejarah dan sebagainya. Apa yang disasarkan, Frame@FD dapat mempamerkan gambar atau lukisan berkenaan serta dapat dimuat turun untuk disebarkan kepada umum.
  • Game@FD : Manipulasi kreativiti mahasiswa bagi mencipta permainan (game) yang berunsurkan Islam disamping menganjurkan permainan Islamik yang sedia ada. Pertandingan diatur dalam beberapa kategori seperti aplikasi perisian permainan komputer, java bagi telefon bimbit, serta permainan manual yang menggunakan hardware. Pemenang akan mendapat habuan yang berpatutan. Game@FD pasti menghiburkan disamping ia dapat mendidik jiwa. Dengan kemampuan, permainan-permainan yang dicipta itu insya-Allah akan dikomersialkan melalui syarikat yang bekerjasama dalam menjayakan Game@FD ini.
  • Puitis@FD : suatu ketika dahulu, sajak, puisi dan pantun mampu menuntun non-muslim memasuki gerbang Islam melalui kata-kata puitis yang dihembus ke telinga dan hati mereka. Namun, kekuatan itu hampir terhakis daripada lidah-lidah seniman. Maka, Puitis@FD berhasrat mengembalikan kekuatan tersebut melalui penghasilan karya-karya serta deklamasinya.
  • Theater@FD : Seronok melihat telatah kawan-kawan di atas pentas? Theater@FD membuka ruang kepada mereka yang ingin mengasah bakat berdakwah melalui theater. Penganjurannya berbentuk pertandingan dan akan diadili oleh mereka yang berkemahiran dalam bidang theater.
  • Celebrity@FD : Antara kriteria selebriti yang dijemput ialah selebriti yang telah 'berhijrah' dalam konteks genre seninya iaitu daripada non-islamik kepada islamik. Hehe..bab ni Nurulimanz suka kalau penganjur jemput 'mbak' Inneke Koesherawaty dari Indonesia. Lagi seorang yang menjadi favourite Nurulimanz ialah 'ustaz rock'. Siapa lagi kalau bukan Akhil Hayy. Sure gempak Celebrity@FD ni, beb! Tapi jemput untuk apa? Untung kalau dapat beramah mesra dengan mereka di samping mengambil iktibar daripada mereka yang telah 'berhijrah'.
  • Fasion@FD : Seindah-indah pakaian ialah pakaian yang menutup auratnya. Justeru Fasion@FD mengambil inisiatif bagi menonjolkan busana-busana muslim dari butik-butik terpilih melalui peragaan oleh model. Fasion@FD ini juga diserikan dengan kuliah berkaitan aurat dan pakaian.
  • Kids@FD : Pertandingan pidato kreatif bagi adik-adik cilik menjanjikan kelainan daripada pidato yang biasa didengari. Melalui syarat-syarat yang ditetapkan, adik-adik cilik ini akan menyampaikan pidato disamping menggunakan metode lain seperti menyanyi, bersajak, berjenaka dan lain-lain. Harapannya, variasi ini akan menyuburkan metode yang lama supaya ia lebih segar dan bertenaga, sesuai dengan suasana realiti kini.
Buat akhirnya, Nurulimanz suka untuk mengungkapkan kata-kata keramat Imam Hassan al-Banna : " Kita bukanlah yang memulakan atau mengakhiri perjuangan, tetapi kita adalah mata-mata rantai perjuangan".

Thursday, July 17, 2008

Langkawi Tour!


Pengalaman bersama skuad Bina Ummah YADIM ke Langkawi pada 9 - 13 Julai 2008 bersifat ilmiah dan santai. Jadi Nurulimanz sengaja ceritakan di ruang ini tugasan program dan pengalaman peribadi di Langkawi kerana kedua-duanya pengalaman baru buat Nurulimanz serta ada pengajarannya. Pengalaman baru berhadapan dengan Pertubuhan Pergerakan Wanita Parlimen Baling dan pengalaman baru lemas dalam tasik Dayang Bunting.

Nurulimanz sebenarnya ditugaskan sebagai pentazkirah dan imam solat sepanjang program berlangsung. Agak mencabar juga bagi Nurulimanz dalam menyampaikan tazkirah kepada mereka yang lebih awal 'makan garam' daripada Nurulimanz. Lagi pula sudah lama Nurulimanz tidak menyampaikan tazkirah dimana-mana kerana tiada peluang. Justeru denagan peluang yang diberi oleh YADIM, Nurulimanz cuba melaksanakannya dengan sebaik mungkin. Alhamdulillah, sasaran dapat menerimanya dengan baik serta memberi respon yang positif. Yang hairannya, secara spontan terpacul jenaka-jenaka yang Nurulimanz tak pernah lakukan dalam mana-mana tazkirah sebelum ini. Nurulimanz anggap ini kurniaan ilham daripada Allah. Apa yang penting, Nurulimanz ingin tekankan bahawa jenaka memainkan peranan dalam keberkesanan dakwah. Kerana apa Nurulimanz berkata begini? Kerana wujud suatu ikatan kemesraan apabila ketawa bersama-sama. Dan kemesraan itu salah satu keperluan dalam menyampaikan dakwah. Lihat sahaja contoh mesranya Rasulullah terhadap sasaran dakwahnya hatta mereka yang beragama nasrani sekalipun. Begitulah pengalaman dan pengajaran yang Nurulimanz dapat.

Satu lagi pengalaman yang Nurulimanz suka ceritakan di sini ialah lemas dalam Tasik Dayang Bunting. Nurulimanz tidak menjangka disebalik perjalanan menaiki bot laju membelah lautan menuju ke Tasik Dayang Bunting yang sangat menyeronokkan, suatu pengalaman buruk sedang menanti di sana. Pada mulanya tiba di sana, hati ini bertasbih melihatkan suasana yang indah, ketenangan air tasik nan 'kehijauan' serta bukit yang berbentuk manusia yang sedang mengandung berbaring, kononnya itulah 'Dayang Bunting'. Kcburrrrr...seorang rakan terjun diikuti seorang lagi. Melihatkan mereka seronok berenang-renang dalam tasik itu, Nurulimanz tidak mahu terlepas peluang lalu apa lagi...Nurulimanz pun terjunlah agak-agak di tengah sedikit tanpa mengambil nafas terlebih dahulu. Fikir Nurulimanz, bolehlah melonjak ke atas bila sampai ke dasar tasik. Tapi malang, Nurulimanz tidak jumpa dasarnya. Panik Nurulimanz. Apa lagi, tenggelam timbullah Nurulimanz terkapai-kapai. Mungkin pertolongan daripada Allah, Nurulimanz dihanyutkan hingga berhampiran pelantar dan dapat ditarik oleh seorang rakan ke atas pelantar. "Itu la pasal... jangan main terjun saja!"pesan seorang rakan. Ketika itu Nurulimanz lemah akibat terminum air tasik yang banyak. Setelah berehat sebentar, Nurulimanz yang masih tidak puas menikmati air tasik terjun semula ke dalam tasik. Ops...kali ini dengan jaket pelampung la beb! Tak mau Nurulimanz tempah maut sekali lagi! Dengar kata seorang rakan, siapa pun belum dapat teroka dasar Tasik Dayang Bunting kerana tekanan di dalam tasik itu terlalu kuat. Maknanya tasik itu sangat dalam kerana semakin dalam sesuatu tadahan air (tasik, laut dll...), semakin kuat tekanannya. Tebing tasik itu sahaja tidak kurang dari 40 kaki dalam sedangkan tinggi Nurulimanz lebih kurang 5 kaki sahaja!

Dalam dakwah pun begitu juga, jangan 'pakai sumbat' dan 'tangkap muat' sahaja program tanpa meneliti dahulu sasaran dakwah dan suasananya serta bahan yang diperlukan dalam dakwah tersebut. 'Lemas' pendakwah tersebut dibuatnya. Jadilah orang yang bijak berdakwah (perancangan dan perlaksanaanya) supaya ia lebih berkesan. Ambil kira aspek sasaran, bahan dakwah, metode, saluran, , kekuatan dan peluang, masalah dan ancaman dakwah dan sebagainya. Barulah gempak dakwah tu..!

Friday, July 4, 2008

Nurulimanz di YADIM...

Hari ini tamatlah Latihan Industri (LI) Nurulimanz di Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) setelah 2 bulan berkhidmat di sana. Nurulimanz kagum dengan profesion yang terdapat di YADIM. Bina Ummah, NGO yang terbahagi kepada 3 bahagian : (Nadwah Ulama' Ilmuan Malaysia, Majlis Amal Islami Malaysia, Majlis Perundingan Wanita Islam Malaysia), Sukarelawan Al-Falah dan pelbagai lagi profesion. Kesemuanya bergerak atas satu landasan iaitu menyelusuri jalan dakwah di Malaysia khususnya dan seluruh dunia umumnya. Siapa yang tidak mengetahui tentang program mega seperti Pameran Produk Halal MIHAS, Multaqa Sedunia Alumni Al-Azhar dan Majalah Millenia Muslim, Forward serta Aniqah. Inilah di antara hasil kerja kuat warga YADIM. Kredit buat mereka. Atas kesungguhan mereka inilah, Nurulimanz ingin sangat menjalani LI di sana.

Program pertama yang
Nurulimanz ikuti semasa menjalani LI ialah Majlis Anugerah Ibu Malaysia. Majlis tersebut dirasmikan oleh Raja Permaisuri Agung Tuanku Nur Zahirah. Anugerah Ibu Malaysia ini diberi kepada ibu-ibu yang dikira berjaya dalam mengharungi pelbagai cabaran hidup, tanpa mengambil kira agama dan bangsa. Majlis yang dihadiri oleh penganut pelbagai agama ini memberi signal (petanda) yang jelas bahawa dalam dakwah, kita perlu meraikan penganut agama lain sesuai dengan tuntutan sosial dan norma kemasyarakatan selagi tidak bertentangan dengan dasar Islam. Dengan cara ini, mereka (penganut agama selain Islam) merasakan bahawa Islam itu agama yang jinak dan mesra seterusnya melahirkan persepsi yang baik terhadap Islam. Moga-moga suatu hari nanti, mereka akan berminat untuk mengenali Islam dengan lebih dekat dan akhirnya mengambil keputusan untuk memeluk agama yang syumul (sempurna) ini.

Seterusnya, Nurulimanz mengikuti program Muzakarah Pengamatan Islam yang diadakan di Pulau Pangkor, Perak. Program anjuran bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang dan Maktab Perguruan Tengku Bainun Pulau Pinang ini memberi pendedahan kepada peserta tentang aspek-aspek fundamental (asas) dalam Islam. Selain itu, aktiviti perbincangan dan perbahasan juga diadakan. Aktiviti riadhah di sekeliling Pulau Pangkor memberikan kesegaran pada minda peserta yang nampaknya keletihan setelah seharian memerah otak memikirkan penyelesaian masalah ummah, selain dapat mengeratkan hubungan antara peserta. Nurulimanz sangat setuju dengan jadual sebegini. Kerana apa? Dalam apa jua aktiviti dakwah, perlu seimbang antara mujahadah dan mu'santai'ah. Ini akan mengawal minda dan emosi supaya berada pada tahap dan stabil. Macam bateri handphone juga, perlu recharge, barulah bertenaga, beb!

Program seterusnya, Nurulimanz ingin membawa anda ke Skudai, Johor. Ada apa di sana? Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia menjadi gelanggang tiga orang panelis Forum Perdana Ehwal Islam. Penontonnya...MasyaAllah, ramai dan terdiri daripada pelbagai penganut agama. "Ini sudah baeeek" fikir Nurulimanz. Tapi macam mana boleh berlaku keajaiban ini? Rupa-rupanya tetamu yang hadir mengikuti forum tersebut ialah pelajar-pelajar baru (freshies) universiti berkenaan. Kena rela paksa hadir la tu...Nurulimanz tidak memandang itu suatu yang negatif. Malah Nurulimanz berpendapat perlunya cara rela paksa atau dengan kata lain berhikmah dalam paksaan. Dalam hal ini, kuasa yang ada pada Pembantu Mahasiswa digunakan bagi mengarahkan semua freshies menghadiri forum tersebut dalam rangka jadual Minggu Haluan Siswa. Alhamdulillah, penerimaannya sangat positif... Yang lebih menjadikan Nurulimanz teruja ialah Nurulimanz dapat bersemuka dengan salah seorang tokoh ilmuan Islam Malaysia, Prof. Dr. Uthman El-Muhammady. Memang sekian lama terpendam di hati Nurulimanz ingin bersua dengannya. Alhamdulillah, tecapai juga hasrat ini.

p/s : bersambung dengan pengalaman di LANGKAWI pula nanti.tunggggu...