Thursday, October 30, 2008

..:: MeMiNaNg KePaDa WaLiMaH uRuS ::..



Meminang bererti lamaran daripada seorang lelaki kepada seorang perempuan pilihannya untuk dijadikan isteri.

Meminang boleh dilakukan dengan cara berterus-terang atau cara kiasan. Urusan peminangan biasanya dilakukan oleh orang perantaraan daripada pihak lelaki dan diaju kepada wakil pihak perempuan.

Hukum meminang adalah harus terhadap perempuan yang dipilih untuk bakal isterinya.

Sabda Rasullah S.A.W

Maksudnya: “Daripada Ibnu Umar r.a berkata , telah bersabda Rasulullah S.A.W. “Janganlah ada seorang kamu meminang tunang saudaranya sehingga dia melepaskannya.”

Syarat-syarat perempuan yang hendak dipinang ialah:

  • Bukan isteri orang
  • Tidak dalam idah raj'i
  • Bukan tunang orang
  • Bukan muhrim
Apabila lamaran telah diterima, maka terjadilah ikatan pertunangan di antara kedua-dua belah pihak.



Islam telah menggariskan satu perkahwinan yang khusus untuk panduan orang-orang Islam dalam mendirikan rumahtangga bagi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Dalam memilih isteri, Islam memberi kebebasan kepada kaum lelaki untuk memilih bakal isteri yang sesuai dengannya. Islam menganjurkan supaya memilih seorang perempuan yang salih dari keturunan yang ramai anak, berakhlak mulia, dan cantik.

Sabda Rasullah SAW ,

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a daripada Nabi S.A.W telah bersabda: “ Dinikahi wanita itu kerana empat sifat, kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan agamanya. Pilihlah yang beragama , bahagialah engkau.”

Seseorang perempuan boleh membuat pilihan sama ada menerima atau menolak suatu perkahwinan sekiranya mempunyai sebab-sebab yang munasabah. Perempuan-perempuan yang haram dikahwini ialah:

1.Sebab keturunan

  • Ibu,nenek,ibu sebelah bapa, dan seterusnya(ke atas)
  • Anak, (cucu) cicit, dan seterusnya ( ke bawah)
  • Saudara perempuan seibu sebapa
  • Saudara perempuan seibu
  • Saudara perempuan dari sebelah bapa ( anak saudara)
  • Saudara perempuan dari sebelah ibu ( emak saudara)
  • Anak perempuan daripada saudara perempuan, dan seterusnya (anak saudara cucu)
  • Anak perempuan daripada saudara lelaki dan seterusnya (anak saudara, cucu)
2.Sebab susuan
  • Ibu susuan
  • Saudara perempuan susuan
  • Adik beradik ibu susuan
  • Anak saudara perempuan susuan
  • Ibu mentua ibu susuan
3.Sebab perkahwinan
  • Ibu mentua
  • Ibu tiri
  • Anak tiri apabila sudah bercampur dengan ibunya
  • Saudara perempuan isteri
  • Menantu
  • Isteri bapa
Haram hukumnya menikahi dua adik-beradik perempuan atau seorang perempuan dimadukan dengan saudara perempuan bapanya, atau anak perempuan saudaranya.

Syarat-syarat bakal isteri:

  • Islam
  • Perempuan , bukan khunsa atau pondan
  • Bukan isteri orang
  • Tidak dalam idah
  • Bukan muhrim
Syarat-syarat bakal suami:
  • Islam
  • Lelaki
  • Tidak beristeri empat
  • Bukan muhrim
Islam mengharuskan seorang lelaki melihat bakal isterinya supaya tidak menimbulkan perkara-perkara yang tidak puas hati di kemudian hari. Seseorang lelaki diharuskan melihat muka dan kedua-dua tapak tangan bakal isterinya.




Mahar (mas kahwin) ialah suatu pemberian yang berbentuk wang atau barang-barang yang memberi manfaat daripada pihak suami kepada isteri setelah berlaku upacara akad nikah.

Pemberian mahar adalah sunat sebagai tanda penghargaan, tanggungjawab dan kasih sayang suami terhadap isterinya.

Islam tidak menentukan jumlah pemberian mahar, ianya mengikut persetujuan di antara kedua-dua belah pihak suami dan isteri. Sebaik-baik mahar ialah rendah kadarnya.

Bayaran mahar boleh dilakukan secara tunai atau hutang. Ia tidak menjejaskan sah atau tidak sesuatu pernikahan itu.

Sekiranya berlaku perceraian atau isteri meninggal dunia, pihak suami wajib membayar segera.

Mahar terbahagi kepada dua jenis, iaitu mahar Musamma dan mahar Misl

  • Mahar Musamma ialah mahar yang ditentukan kadarnya mengikut persetujuan di antara kedua-dua belah pihak.
  • Mahar Misl ialah mahar yang ditentukan kadarnya berdasarkan kadar mahar saudara-saudara perempuan sebelah isteri.




Walimatulurus ialah kenduri yang diadakan sempena majlis perkahwinan. Hukum mengadakan walimatulurus adalah sunat Muakad kerana perbuatan tersebut adalah baik dan mulia. Tujuan Islam menggalakkan walimatulurus diadakan ialah:
  • Melahirkan tanda kesyukuran dan kegembiraan
  • Supaya pernikahan tersebut diketahui ramai
  • Untuk mengeratkan tali persaudaraan di antara kedua-belah pihak

Islam menggalakkan walimatulurus, tetapi melarang jamuan tersebut diadakan secara besar-besaran yang bertentangan dengan Islam.
Sabda Rasulullah S.A.W


Maksudnya:
Daripada Abu Hurairah r.a telah berkata, bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda: “Sesiapa yang meninggalkan jemputan (walimatulurus) maka sesungguhnya dia telah ingkar perintah Allah dan Rasul-Nya."

Menghadiri walimatulurus apabila dijemput adalah wajib sekiranya tidak ada keuzuran. Antara perkara-perkara yang dilarang ketika mengadakan walimatulurus ialah:

  • Melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam
  • Mengadakan walimatulurus untuk bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk
  • Tidak memeningkan perkara haram dalam tersebut
  • Melakukan kenduri walimatulurus yang mempunyai unsur-unsur pembaziran dan sebagainya.

0 comments: