Friday, October 31, 2008

Sepahit Madu…. Semanis Hempedu (siri 2)

Akhirnya berita tentang perkahwinan Fikri dan Nusaibah sampai juga ke pengetahuan Fatimah. Walaubagaimanapun, dia redha dengan ketentuan Allah dan menerima takdir ini dengan hati yang tenang kerana keyakinannya bahawa jodoh dan pertemuan itu adalah ketetapanNya.

Fatimah sedar rupanya kiasan yang digunakan oleh Fikri sewaktu melamarnya dahulu, mengandungi maksud yang tersirat.

Dan takdir Ilahi juga telah menemukan mereka bertiga pada malam program dakwah di masjid itu. Fatimah adalah antara orang penting yang bertungkus lumus menjayakan program anjuran Angkatan Bertindak Banteras Islam Liberal (ABABIL) .

Setibanya Fikri dan Nusaibah ke tempat program tersebut, Fatimah menyambut kedatangan mereka dengan mesra dan ramah sekali.

“Assalamualaikum” , sambil menghulurkan tangan kepada Nusaibah.

”Selamat datang pengantin baru..amboi. berseri- seri. Maklumlah seri pengantin tak hilang lagi…”, Fatimah menyapa mereka dengan senyuman yang tidak lekang dari bibirnya.

Nusaibah pula hanya tersenyum malu-malu mendengar usikan mesra dari Fatimah.

Fikri turut mengukirkan senyuman.Senyuman yang sukar untuk di mengertikan.

“Ya..Akhi Fikri, tak nak kenalkan ke isteri anta pada ana?” soal Fatimah kepada Fikri dengan riak wajah yang tenang tanpa ada garis kekecewaan mahupun dendam.

“Oh ya..err…minta maaf, ana terlupa”.

“Perkenalkan, zaujah ana.. Nusaibah binti Uwais Qarni”.

“ Abang perkenalkan sohabiah abang, Fatimah Az-Zahra binti Umar al-Mujahid.

Fatimah bersalaman sekali lagi dengan Nusaibah serta memeluknya erat dengan rasa kasih seorang saudara sesama islam. Nusaibah dapat merasakan aura ukhuwah dan mahabbah Fatimah meresap ke dalam jiwa dan sanubarinya.

Sementara Fikri masih terkesima dengan santunan budi pekerti Fatimah tika itu. Dalam masa yang sama dia sangat gembira dan bersyukur.

Alhamdulillah, moga Allah merahmati dan melimpahkan ketabahan hati buatmu Fatimah…”, munajat Fikri di dalam hatinya.

Dalam program tersebut, Fikri telah dijemput untuk memberikan ceramah berhubung isu ”Islam,Sekularisme, Pluralisme & Liberalisme” atau ringkasnya , ”ISLAM vs SIPLIS” kepada semua hadirin program. Ternyata, keupayaan Fikri dalam memberikan ceramah semakin mantap dan hebat sejak dia menjejak kaki ke alam baru dalam hidupnya.

Isi-isi ceramahnya semakin bernas dan padat, penyampaiannya kelihatan berkeyakinan , tegas dan penuh berhikmah. Fatimah mendengar pengisian tersebut dengan penuh khusyuk dan tekun sehinggakan dia berjaya melupakan segala perkara yang pernah berlaku antara dirinya dan Fikri.

Bagi Fatimah kini, tumpuannya hanyalah pada perjuangan dakwah semata-mata. Pengalaman lalu telah mengajarnya untuk menjadi seorang srikandi muslimah yang meletakkan perjuangan dakwah dalam senarai teratas dalam rutin hidupnya. Sikap ego dan emosionalnya dahulu, telah dibuangnya jauh-jauh.

Fatimah kini jauh lebih matang dan dewasa. Setiap tindakannya bertunjangkan keimanan dan bersendikan akal fikiran yang waras. Hidupnya kini dirasakan lebih tenang dan terisi walaupun pada hakikatnya hatinya masih sunyi kerana masih belum ada insan tersayang di sisi untuk menjadi sandaran dalam sebuah perjuangan yang panjang. Namun begitu, hidupnya tetap tenang dan ceria kerana baginya rahmat Allah adalah jauh lebih baik daripada dunia dan seisinya.

Tarbiyyah yang di laluinya memantapkan lagi langkah kakinya di medan juang fisabilillah. Apatah lagi, sahabat – sahabat yang mengetahui sejarah hidupnya itu, banyak memberikan hembusan semangat untuk tetap istiqamah di jalan da’wah walau seberat manapun ujian yang harus di lalui.

Seusai program , semua tetamu dijemput untuk menikmati sedikit jamuan ringan. Fatimah menjemput Nusaibah untuk ke ruang makan bahagian muslimat.

“ Jom Nusaibah, kita menjamu selera…” Fatimah mengajak Nusaibah dengan sopan dan lembut dengan senyuman yang tidak pernah lekang dari bibirnya.

“ Silakan…” , balas Nusaibah.

Fatimah menggunakan kesempatan yang ada itu untuk beramah mesra dan mengenali Nusaibah dengan lebih dekat lagi. Begitu juga dengan Nusaibah, dia juga turut tertarik untuk lebih mendekati Fatimah. Nusaibah kagum dengan peribadi Fatimah, baginya Fatimah sangat ramah dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja.

Apatah lagi, keupayaan dan keterlibatan Fatimah di dalam perjuangan da’wah lebih di kaguminya. Tanpa kekuatan yang luar biasa, mana mungkin wanita muslimah seperti Fatimah mampu untuk berada di jalan ini. Pada pengetahuannya, tidak ramai wanita yang mampu untuk berdiri seteguh Fatimah di jalan ini.

Nusaibah melihat potensi dakwah yang ada dalam diri Fatimah begitu besar. Walaupun sibuk berkejar ke sana ke mari menguruskan program , tetapi senyumannya tidak pernah lekang dari bibir. Riak wajahnya tidak menunjukkan keletihan jauh sekali mengeluh. Malam itu mereka berdua berbual mesra seperti sudah lama berkenalan. Sudah pastinya, topik perbualan mereka berkisar tentang program-program dakwah yang bakal dianjurkan oleh jemaah mereka serta isu-isu umat Islam di seluruh dunia pada masa kini.

Perkenalan dengan Fatimah pada malam itu memberikan kenangan yang manis buat Nusaibah. Walaupun baru sahaja berkenalan tetapi sudah rapat dan mesra. Nusaibah merasakan bahawa mereka berdua ada keserasian dan kebersamaan. Cita – cita dan matlamat hidup mereka selari.

Nusaibah berzikir memuji Allah s.w.t di dalam hati “subhanallah…alhamdul illah..allahuakb ar..” sebagai tanda kesyukuran kerana ukhwahnya yang baru terjalin dengan Fatimah adalah atas rahmat dan kasih sayang Allah jua.

“ Sayang letih..diam je?Jauh termenung, teringat kat sape..? abang kan ada kat sebelah ni…” , Lamunan Nusaibah terhenti dek teguran suami tercinta di sebelahnya yang sedang memandu untuk pulang ke rumah mereka. Fikri tersenyum sambil memandangnya sekilas..Nusaibah membalas senyuman suaminya dengan senyuman yang paling manis.

UKHUWAHFILLAH yang terjalin antara Nusaibah dan Fatimah tidak terhenti setakat itu saja. Kedua-dua mereka sangat aktif bergerak kerja menjayakan pelbagai program dakwah terutamanya yang melibatkan isu wanita dan perserta muslimat.

Jemaah mereka semakin aktif dengan penganjuran pelbagai program yang bermanfaat untuk masyarakat dan umat Islam khususnya. Hubungan mereka berdua sangat erat dan serasi dalam bergerak kerja. Segala amanah yang dipertanggungjawabk an kepada mereka dilaksanakannya dengan bersungguh-sungguh.

Walaubagaimanapun, pada masa yang sama Nusaibah tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Apalagi setelah Fikri memberikan keizinan yang tiada taranya kepada Nusaibah untuk aktif terlibat dalam medan perjuangan.

Setahun berlalu….

Kesibukan dengan kerja-kerja dakwah yang menjengah kehidupan mereka setiap hari menyebabkan mereka tidak sedar bahawa masa telah berlalu dengan begitu pantas. Genaplah setahun usia perkahwinan Fikri dan Nusaibah.

Sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang pertama, Nusaibah berhasrat untuk memberikan sesuatu kepada Fikri sebagai hadiah istimewa.

“ Abang…saya ada sesuatu nak diberikan pada abang sempena ulang tahun perkahwinan kita ni..saya berharap sangat abang sudi menerimanya dengan seikhlas hati..”

“Ape dia sayang…?”.

“Saya nak berikan Fatimah kepada abang…jadikan Fatimah sebagai sayap kiri kedua dalam perjuangan abang, nikahi dia…saya berharap sangat abang sudi menerima pemberian saya ni dengan seikhlas hati…boleh ye bang…”

Fikri terkedu seketika..lidahnya kelu seribu bahasa..lisannya putus dengan kata-kata…tidak tahu apa yang harus dijawabnya kerana sangat terkejut menerima ‘hadiah’ pemberian isteri tercinta. Dia tidak tahu samada mahu menolak atau menerima.

“ Tapi sayang…kenapa abang? Sayang seorangpun dah cukup sebagai sayap kiri perjuangan abang… abang tak nak lukakan hati sesiapa…bukankah bermadu itu pahit bagi setiap insan bergelar isteri? Dan mampukah abang untuk berlaku adil nanti?”

“ Abang….Fatimah memerlukan lelaki seperti abang untuk menjadi sandaran dalam perjuangannya. Sepertimana saya perlukan lelaki seperti abang dan abang memerlukan saya dulu. Perjuangannya adalah perjuangan kita juga bang kerana matlamat dan jalan hidup kita adalah sama”.

Abang sayang….seandainya madu itu dikatakan pahit, boleh jadi hempedu pula akan berasa manis, semanis tebu, takpun gula.. ”, Nusaibah meniupkan keyakinan kedalam hati Fikri sambil berlawak manja.

“ Sayang berikan abang masa untuk istikharah dan berfikir dulu ye…”

“Baiklah abang…”.

Seusai solat sunat selepas selamat diijabkabulkan, Fatimah mencium tangan Fikri yang telah sah menjadi suaminya.

“ Akhirnya saya benar-benar jadi isteri kedua abang jugakkan…” Fatimah bersuara lembut sambil tersenyum malu..

“Eh, bukan ke-2 sayang…tapi ke-tiga…” Fikri sengaja mengusik isteri baru yang pernah singgah di hatinya suatu ketika dulu sambil tertawa kecil.

“ Terima kasih abang kerana sudi menerima kami dalam hidup abang”, ucap Nusaibah di sisi kanan suaminya.

Fikri hanya tersenyum melihat isteri - isterinya. Hati kecilnya memanjatkan kesyukuran kepada Allah s.w.t. Irama hamdallah menyelubungi jiwa dan sabubarinya kerana mengurniakan dua orang srikandi hebat dalam hidupnya…Alhamdulillah.

“Ya Allah, rahmati kami dan berkatilah hidup kami”.

”Amin”, doa mereka bertiga.

Maka terbinalah sebuah baitul muslim yang berdiri di atas landasan perjuangan demi menegakkan agama Allah dan menjunjung sunnah Rasulullah s.a.w.

2 comments:

solehati said...

dah habis baca cerpen ni. walaupun tau cerpen ni datang dari mana, tapi..emmm
entahla nak kata apa....
rasa macam idealistik, rasa macam bagus sangat...

Mohammad Akmal Iman b. Abdul Aziz said...

hmmm...ade je yg ikhlas bg suami kawin lain atas dasar perjuangan. cam family ust masridzi sat (PERKID). dia kawin 2 pe...memudahkan kerja dia uruskan perjuangan dia...huhu