Tuesday, March 10, 2009

Engkau, Aku Berbeza… Namun Sama… (dikemaskini 18MAC09)


Aku berjuang di dalam majlis-majlis ilmu

Taman-taman syurga di dunia aku bertamu
Aku ingin melihat Muslim kembali gemilang
Melonjak tamadun kearifan
Menghancurkan kepompong kejahilan

Aku berjuang di lapangan sosial masyarakat
Menghulurkan tangan kepada yang tersesat
Menyalakan sedikit cahaya dalam kegelapan hidup
Menyuluh sinar bahagia buat fitrah insani
Dalam meniti fatamorgana tipuan duniawi

Aku berjuang menentang orde barat
Yang telah merosakkan pemikiran umat
Dengan segala kekuatan aku kerahkan
Mengembalikan umat kepada jalan Allah
Menghapuskan lorong busuk yang memusnah

Aku berjuang bersama pemimpin zaman
Menegakkan yang hak meruntuhkan kezaliman
Walau hanya jalan raya, speaker corner medan
Walau gas pemedih mata aku berhadapan
Bedalan cota & penjara aku tidak tidak hairan

Aku berjuang dengan tinta dan pena
Novel, artikel, blog, lirik , apa jua
Penaku lebih tajam daripada mata pedang
Menghiris dan memotong kebatilan
Moga terbuka hati dan minda memikirkan

Aku berjuang dengan kalam bicara
Setiap patah aku salurkan dakwah semata
Menyentuh hati-hati yang rindukan kebaikan
Lantang mengoyak bicara munafik
Yang menipu, memungkiri janji dan bercabang lidahnya

Aku berjuang semampu kudrat
Menjuarai kesemua tak mungkin ku dapat
Untuk memenangi semua kita harus sepakat
Dalam perjuangan pelbagai penjuru
Ada matlamat kita yang SATU…

0 comments: