Wednesday, August 26, 2009

Debat Isu Kartika Hangat Dan Penuh Misteri !!!

Apakah aku perlu membebel lebih panjang di sini, menambahkan lagi kehangatan perdebatan pelbagai pihak tentang isu penjara dan 6 sebatan yang dijatuhkan oleh Mahkmah Syariah Pahang keatas Kartika Sari Dewi Shukarnor berhubung kesalahannya meminum arak di salah sebuah pusat peranginan di Cherating... Dan kemudian Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di bawah kuasa ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Abdul Rahman Yunus pula tiba-tiba menangguhkannya tanpa alasan munasabah... Alasan penagguhan kerana menghormati Bulan Ramadhan kelihatan seperti alasan dangkal dan terlalu rapuh. Tidak adil bagi pesalah-pesalah lain yang meringkuk dalam penjara sekarang (bulan Ramadhan) ini. Kalau begitu, tangguhkan hukuman semua pesalah-pesalah yang lain dan bebaskan mereka... Kan tak munasabah tu... JAIP pula menunding jari kepada Peguam Negara dan Penjara Wanita Kajang yang enggan menerima Kartika sebagai 'warganya'. Dalam hal ini tiada hitam putih yang boleh dirujuk, cuma dari kata-kata pihak JAIP. Habis tu Peguam Negara Penjara Wanita Kajang nak tunjing jari pada siapa pula? Kita lihat dahulu laporan di bawah ini...

Laporan 1 :

Hukuman sebat ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor kerana meminum arak yang sepatutnya dijalankan minggu ini ditangguhkan bagi menghormati bulan Ramadan.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Sahfri Abdul Aziz berkata, pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) telah pergi ke rumah Kartika di Sungai Siput, Perak untuk menahan wanita itu sebelum dihantar ke Penjara Kajang, Selangor bagi menjalani hukuman tersebut.

Bagaimanapun, pada masa yang sama, Mohd. Sahfri memberitahu, JAIP telah menerima sepucuk surat daripada pejabat Peguam Negara yang menasihatkan jabatan itu agar melepaskan Kartika buat sementara waktu kerana hukuman tersebut didapati tidak sesuai untuk dijalankan sekarang.

"Hukuman itu masih kekal tetapi bagi menghormati bulan Ramadan, dia (Kartika) akan disebat selepas bulan puasa. Memang benar Kartika dibebaskan tetapi ia hanya untuk sementara waktu," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Wanita itu tetap akan dibawa ke penjara tersebut untuk ditahan selama seminggu seterusnya menjalani hukuman enam sebatan sebagaimana diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 18 Julai lalu.

(sumber : www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0825&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm)

Laporan 2 :

Selepas ditahan oleh sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di rumahnya di Kampung Jawang di sini pada pukul 9.30 pagi semalam, Kartika Sari Dewi Shukarnor 'dikembalikan' semula ke pangkuan keluarganya sejam kemudian.

Itulah yang berlaku terhadap model sambilan berumur 32 tahun itu yang sepatutnya dibawa ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam sebelum ditempatkan di Penjara Kajang selama seminggu bagi menjalani hukuman enam sebatan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 18 Julai lalu.

Tindakan pegawai yang mengetuai pasukan itu, Shafaruddin Zainal Ariffin menyerahkan semula Kartika kepada bapanya, Shukarnor Abdul Mutalib hampir mencetuskan ketegangan.

Shukarnor dan beberapa ahli keluarga yang ketika itu bersiap-siap untuk ke Shah Alam bagi mengiringi Kartika terkejut apabila van yang membawa anaknya masuk semula ke halaman rumahnya.

"Saya mendapat arahan untuk memaklumkan kepada Tuan Haji (Shukarnor) bahawa kami tidak dapat melaksanakan perintah tahanan dan pelaksanaan hukuman yang sepatutnya dilaksanakan hari ini (semalam). Ini arahan pihak atasan dan saya tidak boleh mendedahkannya (pihak atasan terbabit)," kata Shafaruddin kepada Shukarnor.

Berang dengan apa yang berlaku, Shukarnor mendesak pegawai terbabit menerangkan apakah alasan penangguhan hukuman tersebut sambil meminta surat rasmi mengenai arahan itu.

(sumber : www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0825&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm)


Laporan 3 :

Di sebalik penangguhan hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarnor yang sepatutnya ditempatkan di Penjara Kajang kelmarin, banyak tanda tanya timbul dan pihak yang terbabit saling menuding jari menyalahkan pihak lain.

Tidak dapat dipastikan siapa yang benar dalam hal ini, tetapi yang pasti kontroversi itu mendapat liputan meluas termasuk oleh media asing.

Keputusan menangguhkan hukuman sebat ke atas Kartika dikatakan bukan kerana mahu menghormati Ramadan tetapi dipengaruhi keengganan pihak Penjara Wanita Kajang untuk melaksanakan hukuman tersebut.

Demikian dakwaan Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Abdul Rahim Jaafar mengenai kegagalan pelaksanaan hukuman sebat ke atas Kartika, 32, seperti yang dijadualkan sebelum ini.

Beliau mendakwa, pengurusan Penjara Kajang tidak membenarkan penjara tersebut dijadikan tempat melaksanakan hukuman itu mungkin disebabkan mereka menerima tekanan daripada pihak tertentu.

"Penangguhan tersebut tidak ada kaitan dengan faktor menghormati bulan Ramadan kerana Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan sebelum ini memang memutuskan hukuman sebat dilaksanakan dalam bulan puasa untuk tujuan menginsafkan pesalah.

"Kita percaya pengurusan penjara itu mungkin memohon mendapatkan arahan daripada Pejabat Peguam Negara supaya hukuman sebat ke atas Kartika ditangguhkan. Mungkin ada campur tangan daripada pihak tertentu sehingga menyebabkan Pejabat Peguam Negara juga campur tangan," katanya ketika dihubungi semalam tetapi beliau enggan mendedahkan pihak yang dimaksudkannya.

(sumber : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0826&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm )


Baik, sekarang lihat kenyataan kenyataan di bawah :

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pula memuji tindakan Ketua Hakim Syarie Pahang, Datuk Abdul Rahman Yunus mengarahkan hukuman itu ditangguhkan.

Bercakap kepada pemberita sebelum menghadiri Majlis Sambutan Hari Wanita 2009, beliau berkata, penangguhan hukuman itu bersesuaian bagi menghormati bulan Ramadan, di samping mengelak persepsi negatif dunia terhadap negara ini.

"Kami di kementerian sentiasa mengikuti perkembangan kes ini dan tidak mempersoalkan hukuman yang dijatuhkan itu.

"Apa yang kita risau, corak hukuman itu boleh memberikan impak buruk kepada negara ini seperti Malaysia dianggap mengamalkan sistem yang zalim," katanya.

Shahrizat berkata, Kartika juga masih mempunyai ruang untuk meminta semakan semula hukuman yang dijatuhkan itu, namun kementerian dan kerajaan tidak mempunyai hak untuk memaksanya berbuat demikian.

"Saya tidak melihat perkara ini sebagai satu isu asalkan pelaksanaannya tidak menunjukkan ia dibuat atas faktor Kartika ini seorang wanita. Bagi saya, ini bukannya cara terbaik untuk mendidik apatah lagi hukuman ini keputusan yang tepat atau tidak.

"Kita perlu melihat perkara ini dalam konteks yang lebih luas. Dasar wanita yang baru juga akan mengambil kira semua ini agar tidak ada pihak yang teraniaya atau menjadi mangsa hanya kerana mereka ini seorang wanita," katanya.

(sumber : /www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/BeritaUtama/20090825234937/Article/)


Kenyataan ini belum cukup untuk kita menunding jari kepada mereka bahawa 'puak mereka' lah dalang di sebalik penangguhan hukuman Islam ini. Namun beberapa perkataan yang keluar dari mulut 'puak mereka' wajar anda nilai seperti yang telah saya tebal dan besarkan. Anda perlu lihat sendiri kenyataan-kenyataan 'puak mereka' di kaca tv atau video yang berkaitan agar anda dapat menilai tahap 'ketakutan' dan 'fobia' mereka terhadap hukum Islam. Memang, hukum Islam itu bukan sewenang-wenangnya boleh dilaksanakan. Ada perbicaraan dan kerelaan pesalah. Misalnya kisah di zaman Rasulullah s.a.w. apabila datang seorang sahabat bernama Ma'iz di hadapan Rasulullah s.a.w. dan mengakui bahawa dirinya telah berzina maka Rasulullah s.a.w. berpaling seraya bertanya "adakah engkau gila (ketika itu)? ". Maiz mengaku bahawa dia tidak gila ketika itu. Selepas 3 kali pertanyaan Rasulullah s.a.w. dan pengakuan Ma'iz (soalan dan jawapan yang sama), maka Ma'iz dengan harapan agar Rasulullah s.a.w. menghukumnya di dunia dengan hukum Islam agar terlepas siksanya di alam barzakh dan akhirat walaupun ternyata Ma'iz telah bertaubat. Maka apa yang hendak dipertikaikan dan 'dipaksa' si pesalah membuat rayuan lagi apabila Kartika sendiri yang beria untuk menjalani hukuman tersebut? Seperti mana yang diperkatakan Kartika dalam pengakuannya...

Model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor tidak akan berganjak dengan pendiriannya untuk menerima hukuman enam sebatan seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 18 Julai lalu.

Wanita berusia 32 tahun itu berkata, dia menghargai kenyataan beberapa pihak termasuk oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta beliau menimbangkan untuk merayu hukuman sebatan itu.

"Bagi saya, usaha untuk 'merayu' sebenarnya sudah berakhir iaitu selepas Hakim Datuk Abdul Rahman Yunus memukul tukul di mahkamah dan menjatuhkan hukuman terhadap saya.

"Sejak saat itulah saya sudah nekad dan bersedia menerima hukuman (enam sebatan) itu," katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Jawang di sini petang semalam.

Sebelum itu, di Kuala Lumpur semalam, Najib berkata, Kartika boleh membuat rayuan terhadap hukuman sebat yang dikenakan ke atasnya dan tidak sepatutnya reda semata-mata untuk dihukum.

Menurut Kartika, ada sesuatu yang tidak kena jika dia memohon kepada mahkamah supaya hukuman sebatan itu tidak dilaksanakan sedangkan sebelum ini dia mempunyai masa dan hak untuk berbuat demikian.

"Sebelum ini sudah lima kali saya naik turun mahkamah dengan tujuan dapat mengelakkan hukuman sebat tetapi tiada siapa yang ambil kisah. Dalam tempoh merayu saya tidak berbuat begitu, inikan pula selepas waran penahanan telah dikeluarkan semalam (kelmarin)," ujarnya.

3 comments:

JimAlifSiin said...

Puak-puak GEROMBOLAN terperangkap oleh usaha daya mereka selama ini yang berterusan menolak perundangan Islam.

p/s:..mohon izin untuk terbitkan semula di ruangan blog saya - http://75blues.blogspot.com/

alzinki said...

Salam ramadhan n perkenalan dari saya buat sahabat2 sefikrah dlm PMIUM. Teruskan kemaraan sahabat2 utk mentarbiyah mahasiswa

alzinki said...

Salam ramadhan n perkenalan dari saya buat sahabat2 sefikrah dlm PMIUM. Teruskan kemaraan sahabat2 utk mentarbiyah mahasiswa