Friday, September 17, 2010
Paradigma Dakwah Yang Segar
Sebagaimana yang tersedia maklum, intepretasi dakwah adalah aktiviti menyeru manusia agar mentaati Allah dan menjauhi larangannya. Sejarah dakwah merakamkan ianya dimulai oleh nabi Nuh a.s. yang menyeru umatnya agar beriman kepada Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T. :
Sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya lalu ia berkata: "Wahai kaumku sembahlah Allah, sekali-kali tak ada Tuhan bagimu selain-Nya." Sesungguhnya (kalau kamu tidak menyembah Allah), aku takut kamu akan ditimpa azab hari yang besar (kiamat). (al-A'raff : 59)
Rentetan daripada pertembungan antara Islam dan jahiliah sejak zaman nabi Nuh a.s. hinggalah ke hari ini, maka dakwah juga tidak akan terhenti walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh mereka yang bencikan Islam bagi menamatkan riwayat dakwah.
Misalnya, apabila Rasulullah s.a.w. ditawarkan oleh para musyrikin Mekah dengan harta yang banyak, takhta yang tinggi dan wanita yang cantik supaya baginda meninggalkan usaha dakwah, baginda dengan tegas menolaknya dan tetap akan meneruskan perjuangan dakwahnya.
Semangat dan kefahaman tentang perjuangan dakwah dalam kalangan aktivis dan pendakwah pada zaman ini merupakan percikan semangat dan kefahaman nabi-nabi terdahulu, para pengikut setia mereka dan yang meneladani usaha mereka menjunjung Islam dari zaman ke zaman seperti Imam Hassan al-Banna dan Abul A'la al-Maududi.
Namun, zaman berubah dari semasa ke semasa. Maka, dakwah juga harus melalui transisi perubahan tersebut sesuai dengan zamannya. Paradigma dakwah perlu disegarkan dan diberi lonjakan serta kekuatan yang mampu membawa Islam mengatasi jahiliah yang berada dalam zaman ini. Dakwah perlu disuntik dengan elemen-elemen yang bersifat kontemporari dan sesuai kepada semua golongan.
Hanya tinggal retorik apabila kita cuma bijak berkata-kata, namun perlaksanaannya entah ke mana dan bagaimana. Persoalan yang ingin penulis timbulkan ialah, mengapa pada hari ini kita lihat jahiliah mampu mengatasi ajaran Islam dalam konteks pengamalan kehidupan manusia seharian?
Satu perkara yang mungkin kita terlepas pandang ialah kita selaku aktivis dan pendakwah mengalami sindrom TIDUR dan BUTA daripada menyedari dan melihat serta membaca realiti semasa. Aktivis mahupun pendakwah masih TERAGAK-AGAK dan BERKIRA-KIRA dalam melaksanakan tuntutan dakwah ini. Walaupun ramainya aktivis dan pendakwah serta banyaknya badan dakwah, namun KERJA BUAT DAKWAH KITA BELUM MEMUASKAN jika hendak dibandingkan dengan kemaraan jahiliah yang melanda umat Islam bagai thunami yang menggila.
Ayuh! Bangunlah dan celiklah. Persiapkan mentalmu, kentalkan fizikalmu, kukuhkan rohanimu dan tingkatkan segala kekuatan yang ada padamu untuk menyelusuri jalan dakwah ini dengan pacuan yang lebih bertenaga hingga musuh-musuh Islam gentar dengan kemaraan kita dalam perjuangan dakwah ini. Firman Allah S.W.T. :
Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan). (al-Anfaal : 60)
0 comments:
Post a Comment