BERAPA ramai di antara kita masih mengingati tragedi ummah yang berlaku
pada tahun 1992? Iaitu pada tarikh 6 Disember tahun itu, Masjid Babri
di Ayodhya, India tidak dapat dipertahankan dan diselamatkan apabila
institusi suci umat Islam itu dimusnahkan oleh puak pelampau Hindu.
Seramai 150,000 pejuang nasionalis Hindu yang tidak dapat dihalang
memusnahkan masjid itu dalam konflik berpanjangan perebutan antara Hindu
dan Muslim di India.
Salah seorang pelampau Hindu atau lebih tepat,
dalang untuk meruntuh dan memusnahkan Masjid itu merupakan seorang
pemuda yang bernama Shive Prasad berasal dari Faisabad, iaitu daerah di
mana terletaknya masjid itu.
Prasad ialah ketua sebuah parti
politik Bajrang Dal yang diberi kepercayaan dan tanggungjawab ‘suci’
untuk mengetuai hampir 4,000 penduduk kampungnya, Kar Sevak bagi
memastikan masjid itu akhirnya runtuh. Tindakan melampau untuk
meruntuhkan masjid purba itu telah dirancang dengan baik oleh Prasad.
Beliau memberi arahan dan latihan yang secukupnya kepada para
pengikutnya seramai 4,000 orang itu bagi memastikan rancangan itu
berjaya.
Satu tindakan yang melanggar undang-undang apatah lagi menghormati perasaan penduduk Islam yang lain.
Sedangkan masjid itu merupakan salah sebuah masjid terbesar di negeri
Uttar Preadesh, utara India dengan bilangan umat Islamnya seramai 31
juta orang.
Pada hari kejadian itu, Prasad tidak sahaja menceroboh
masuk malah berjaya memanjat kubah besar masjid dan bersama
pengikut-pengikut yang lain mereka berjaya menawan masjid itu. Kemudian
bersorak gembira apabila mereka akhirnya berjaya meruntuhkan kubah dan
keseluruhan masjid tersebut.
Mereka melaung-laungkan perkataan
“Ram! Ram!” sebagai tanda kemenangan kononnya masjid itu akhirnya
berjaya jatuh ke tangan pelampau Hindu.
Prasad puas hati kerana
berjaya mengembalikan hak penganut Hindu yang kononnya masjid Babri itu
dibina atas tapak kuil, yang dibina bagi memperingati tempat kelahiran
tuhan mereka yang bernama Rama.
Namun tujuh tahun selepas
kejadian itu, pada tarikh yang sama kejadian runtuhan Masjid Babri itu,
Prasad akhirnya sujud memohon ampun kepada Allah atas ‘kejahatan’ beliau
terhadap Masjid Babri itu. Malah beliau berpuasa dan menyesali sehingga
mengalir air mata memohon Allah mengampuninya yang tergamak meruntuhkan
rumah ibadat itu.
Kuasa Allah
Ya, pada tarikh 6 Disember 1999 itu, dengan kuasa Allah, Prasad memeluk Islam dan menukar namanya kepada Mohammed Mustafa.
Berita pengislaman pemuda itu disiarkan oleh Malayalam News keesokan
harinya iaitu pada 7 Disember 1999 yang kemudiannya dipetik oleh Arab
News Publications di Arab Saudi.
Berita itu amat mengejutkan
apabila melihat sendiri latar belakang Prasad, terutama bapanya, Trigal
Ramanathan merupakan Ketua Puak Sangh Parivar di mana seluruh puak itu
terbabit secara aktif dalam usaha meruntuhkan Masjid Babri.
Menurut pemuda ini, sejak kejadian runtuhan masjid itu, Prasad dihantui
perasaan bersalah sehingga begitu menekan jiwanya. Walaupun pada
tangannya masjid itu akhirnya runtuh, namun ia tidak menjanjikan
kedamaian berikutan beliau merasakan telah melakukan satu dosa yang amat
besar.
Mungkin dengan keluar dari India, Prasad mengharap beliau
tidak lagi diburu oleh perasaan bersalah itu. Lalu beliau mencari
pekerjaan di Sharjah salah sebuah negara anggota Emiriah Arab Bersatu
(UAE).
Namun fikirannya masih tidak tenang walaupun beliau menyibukkan diri dengan pekerjaan dan suasana yang baru di negara itu.
Sehinggalah pada 4 Disember tahun 1998, pada hari itu beliau berjalan
seorang diri di sebatang jalan di bandar Sharjah. Secara tiba-tiba
beliau terdengar suara khatib dari sebuah masjid berhampiran.
Menariknya, khutbah itu disampaikan dalam bahasa Urdu dan beliau dapat
mengikuti khutbah itu dengan jelas.
Prasad berhenti untuk
mendengar khutbah itu dan alangkah terkejutnya pemuda ini apabila sang
khatib menyebutkan bahawa Allah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu,
mampu mengubahkan hati-hati yang tidak mempercayai kewujudan-Nya selama
ini.
Sejurus mendengar khutbah itu sehingga akhir, semacam satu
perasaan yang tenang menyelinap masuk ke hatinya. Malah seolah-olah
telah tercabut satu beban besar yang selama ini menyebabkan fikirannya
menjadi begitu serabut.
Segala puji-pujian terhadap Allah yang
akhirnya telah memberi hidayah dan membukakan hatinya walaupun dirinya
telah melakukan kesalahan yang lazimnya sukar untuk diterima apatah lagi
dapat dimaafkan.
Namun berita Prasad memeluk Islam itu tidak
sahaja menimbulkan kemarahan keluarga. Malah akibat tidak dapat
menanggung malu, Prasad akhirnya dibuang oleh keluarganya sendiri.
Beliau tidak dibenarkan pulang semula ke India, kalaupun dia pulang juga
maka nyawanya akan terancam.
Berita pengislaman Prasad itu juga
menyebabkan parti-parti politik dan pelbagai pertubuhan Hindu yang
menyokong tindakan beliau beliau meruntuhkan Masjid Babri turut marah
dan mengancam untuk membunuhnya tanpa mengira masa dan tempat.
Namun apa pun ancamannya Prasad tetap teguhkan imannya terhadap Islam.
Islam menjadikan beliau seorang manusia ‘baru’ yang dahagakan kebenaran
sehinggakan dalam tempoh yang masih baru mengenal Islam beliau berjaya
menghabiskan bacaan dan mempelajari 17 surah dalam al-Quran. Malah
beliau bersungguh-sungguh untuk khatam kitab suci itu.
Cita-citanya kini adalah untuk berkongsi kebenaran mengenai Islam dengan
orang lain termasuk ahli-ahli keluarganya sendiri. “Kalau itu diizinkan
Allah, bukan soal dosa saya akhirnya tertebus sudah. “Tetapi
sekurang-kurangnya itulah sumbangan saya terhadap Islam di samping
perbuatan saya itu juga telah melukakan hati jutaan umat Islam dan saya
mahukan mereka juga memaafkan saya dengan sekurang-kurangnya saya
membina semula apa yang telah saya runtuhkan,” ujarnya sayu.
0 comments:
Post a Comment