Thursday, July 31, 2008

Jom meriahkan FIESTA DAIE...

Sekarang Nurulimanz sudah berada di tahun akhir pengajian sarjana muda di Uni Perdana. Maka seharusnya Nurulimanz melepaskan secara berhemah segala tanggungjawab yang ada kepada mereka yang selayaknya. Dalam lajnah dakwah mahupun persatuan mahasiswa, Nurulimanz mengambil sikap 'bersahaja namun berbisa'. Eloklah sekiranya mereka yang baharu ini mengambil tempat dan peranan yang dikosongkan oleh brother dan sister mereka. Walaupun di luar lingkaran kepemimpinan, Nurulimanz akan sentiasa mencurahkan segala pengalaman dan idea dakwah sebagai pencetus kepada gerakan-gerakan yang mendatang. Kepada mereka yang sudi menerima pengalaman dan idea ini, Nurulimanz ucapkan ribuan terima kasih. Moga-moga ia bermanfaat kepada ummah seluruhnya. Pada kali ini, Nurulimanz ingin mengutarakan idea yang (mungkin) baharu bagi mereka yang ingin melaksanakan dakwah secara santai dan menghiburkan. Memperkenalkan FIESTA DAIE...Ha!!! Ada apa dengan FIESTA DAIE? Jom kita tengok...
  • Movie@FD : Sesiapa sahaja minat menonton movie. Tambah-tambah mereka yang bergelar muda-mudi. Tetapi menyedihkan, movie dakwah amat jarang mendapat perhatian. Maka Movie@FD mengambil peranan bagi menyuburkan rasa cinta kepada movie dakwah. Selain tayangan movie, forum ringkas, pertandingan mencipta movie ringkas berunsurkan dakwah dan penyebaran risalah juga boleh membantu Movie@FD mencapai objektifnya.
  • Concert@FD : Di tengah kesuburan rancangan realiti tv yang berbentuk hiburan muzik yang melalaikan, dakwah tidak harus berdiam diri. Maka Concert@FD tampil dengan revolusi muzik kontemporari yang mendidik jiwa. Bukan sekadar konsert seperti kebiasaan, ia juga tampil dengan nasyid berbahasa inggeris, cina dan tamil yang disampaikan oleh penyanyi muallaf, sesuai dengan kemajmukan Malaysia ini.
  • Frame@FD : Terlalu banyak gambar atau lukisan yang memberi gambaran tentang Islam dan elemen-elemen yang terdapat di dalamnya. Cuma ia tidak diketengahkan dalam masyarakat majmuk. Contoh gambar atau lukisan itu ialah kalimah 'Allah' atau seumpamanya yang terakam pada alam, kaligrafi khat, poster Islamik, kartun Islamik, gambar sejarah dan sebagainya. Apa yang disasarkan, Frame@FD dapat mempamerkan gambar atau lukisan berkenaan serta dapat dimuat turun untuk disebarkan kepada umum.
  • Game@FD : Manipulasi kreativiti mahasiswa bagi mencipta permainan (game) yang berunsurkan Islam disamping menganjurkan permainan Islamik yang sedia ada. Pertandingan diatur dalam beberapa kategori seperti aplikasi perisian permainan komputer, java bagi telefon bimbit, serta permainan manual yang menggunakan hardware. Pemenang akan mendapat habuan yang berpatutan. Game@FD pasti menghiburkan disamping ia dapat mendidik jiwa. Dengan kemampuan, permainan-permainan yang dicipta itu insya-Allah akan dikomersialkan melalui syarikat yang bekerjasama dalam menjayakan Game@FD ini.
  • Puitis@FD : suatu ketika dahulu, sajak, puisi dan pantun mampu menuntun non-muslim memasuki gerbang Islam melalui kata-kata puitis yang dihembus ke telinga dan hati mereka. Namun, kekuatan itu hampir terhakis daripada lidah-lidah seniman. Maka, Puitis@FD berhasrat mengembalikan kekuatan tersebut melalui penghasilan karya-karya serta deklamasinya.
  • Theater@FD : Seronok melihat telatah kawan-kawan di atas pentas? Theater@FD membuka ruang kepada mereka yang ingin mengasah bakat berdakwah melalui theater. Penganjurannya berbentuk pertandingan dan akan diadili oleh mereka yang berkemahiran dalam bidang theater.
  • Celebrity@FD : Antara kriteria selebriti yang dijemput ialah selebriti yang telah 'berhijrah' dalam konteks genre seninya iaitu daripada non-islamik kepada islamik. Hehe..bab ni Nurulimanz suka kalau penganjur jemput 'mbak' Inneke Koesherawaty dari Indonesia. Lagi seorang yang menjadi favourite Nurulimanz ialah 'ustaz rock'. Siapa lagi kalau bukan Akhil Hayy. Sure gempak Celebrity@FD ni, beb! Tapi jemput untuk apa? Untung kalau dapat beramah mesra dengan mereka di samping mengambil iktibar daripada mereka yang telah 'berhijrah'.
  • Fasion@FD : Seindah-indah pakaian ialah pakaian yang menutup auratnya. Justeru Fasion@FD mengambil inisiatif bagi menonjolkan busana-busana muslim dari butik-butik terpilih melalui peragaan oleh model. Fasion@FD ini juga diserikan dengan kuliah berkaitan aurat dan pakaian.
  • Kids@FD : Pertandingan pidato kreatif bagi adik-adik cilik menjanjikan kelainan daripada pidato yang biasa didengari. Melalui syarat-syarat yang ditetapkan, adik-adik cilik ini akan menyampaikan pidato disamping menggunakan metode lain seperti menyanyi, bersajak, berjenaka dan lain-lain. Harapannya, variasi ini akan menyuburkan metode yang lama supaya ia lebih segar dan bertenaga, sesuai dengan suasana realiti kini.
Buat akhirnya, Nurulimanz suka untuk mengungkapkan kata-kata keramat Imam Hassan al-Banna : " Kita bukanlah yang memulakan atau mengakhiri perjuangan, tetapi kita adalah mata-mata rantai perjuangan".

0 comments: