Showing posts with label DaKwAhKu. Show all posts
Showing posts with label DaKwAhKu. Show all posts

Monday, June 20, 2011

mAdRaSaH TaRbiYah RaMaDhAn GaSaKaN mEnUjU iMaN

(entry kali ini cuba memberi idea kepada sesiapa sahaja yang ingin mempelbagaikan program dalam bulan Ramadhan. Juga khusus sebagai respon kepada tauke Pasembur Pulau Mutiara yang menginginkan penglibatan pelanggannya dalam sumbangan idea ke arah menyedapkan lagi pasembur yang dijualnya nanti...)


1. Kuliah Motivasi Ramadhan :

Membicarakan tentang sikap berpuasa salafus soleh, membentangkan hadith-hadith fadhail ramadhan, mengupas hikmah berpuasa yang tercatat dalam al-quran, faedah-faedah berkaitan sains, dan seterusnya memberi gambaran jelas tentang natijah yang diperolehi daripada memanfaatkan Ramadhan. Dilaksanakan semasa pelancaran program Madrasah Tarbiyah Ramadhan.

2. Talaqqi al-Quran :

Bukan sekadar tadarrus, bahkan program ini lebih menjurus kearah bimbingan mursyid memperbetulkan bacaan, seterusnya mengupas isi kandungan ayat yang ditalaqqi serta menguji hafazan ayat-ayat lazim berkaitan keimanan, ibadah dan akhlak. Cadangan untuk dilaksanakan seminggu 2 kali. Di fasa akhir Ramadhan, boleh diusahakan Majlis Khatam al-Quran beserta Majlis Ifthar Istimewa.

3. Risalah Ubat Hatiku, Islah Akhlakku :

Risalah menarik berbentuk buku bacaan ringan yang memaparkan kisah hidup idola Islam yang berjaya misalnya Rasulullah s.a.w. dan para sahabat, Sultan Muhammad al-Fateh, Salahuddin al-Ayyubi, Tokoh-tokoh ilmuan Islam yang lain serta mereka yang dikasihi Allah. Juga memaparkan teguran-teguran membina dalam bentuk poster atau karikatur yang menarik. Selain itu, disarankan agar membuka peluang dan ruang bagi sasaran merespon melalui kuiz atau surat luahan rasa yang dilampirkan. Boleh juga memuatkan fadhilat dan kaifiyat amalan-amalan qiamullail.Cadangan untuk dilaksanakan 3 kali mengikut fasa ramadhan.

4. Nur Qalbi :

Lazimkan memasang alunan ayat suci al-Quran dan zikir pada kekerapan luar dari kebiasaan agar sasaran sentiasa menikmatinya sebagai santapan rohani…

5. Saham Akhirat :

Menyediakan tabung untuk melazimkan bersedekah. Tabung ini pada akhirnya akan disedekahkan kepada badan amal dan rumah kebajikan yang terpilih. Sebelum tabung ini dilancarkan, sesi penerangan khas berkaitan sedekah / infaq pada jalan Allah halus dilaksanakan agar program ini lebih berkesan. 2 kaedah yang digunakan iaitu tabung statik dan tabung bergerak setiap hari.

6. Malam Muhadharah :

Program hiburan sambil mendidik jiwa ini membuka peluang kepada sasaran menyerlahkan bakat terpendam melalui apa jua bentuk kesenian Islam seperti bersajak, nasyid, pentomin dan sebagainya dengan tema, Ramadhan Merawat Hati dan Akhlakku’. Persediaannya pada awal Ramadhan dan pelaksanaannya sama ada di tengah atau di hujung Ramadhan.

7. Ramadhan Sentuhan Qalbu :

Motivasi pecutan fasa akhir Ramadhan ini dilakukan bagi menyentak hati dan jiwa yang masih belum mahu berubah walaupun telah melalui fasa awal dan pertengahan Ramadhan. Sebuah forum beremosi dilaksanakan bagi menggasak emosi sasaran agar segera berubah dan menjadikan Ramadhan kali ini sebagai ‘tuning point’ dalam perubahan iman, hati dan amalan zahir.

8. Menerpa Lailatul Qadr :

Iktikaf dan memperhebatkan ibadah pada 10 malam terakhir adalah amalan yang amat dicintai oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat serta orang-orang yang soleh. Demi meraih redha Allah dalam malam Lailatul Qadr, maka program iktikaf ini dilaksanakan sebagai pecutan akhir dalam fasa akhir bulan Ramadhan. Antara ibadah yang dilaksanakan ialah solat-solat sunat, membaca al-Quran dan melazimi berzikir.

9. Dapur Ramadhan :

Setelah melalui santapan-santapan rohani untuk diri sendiri, sampailah masanya diketengahkan program untuk kemasyarakatan dan ukhwah sesama sasaran. Cadangan memasak secara bergotong-royang ini dilaksanakan secara berkumpulan dan diketuai oleh sesama sasaran. Program ini juga bertujuan mewujudkan rasa hormat dan kerjasama sesama mereka.

10. Inilah Madrasah Tarbiyah Ramadhan :

Ia bukanlah sebuah program khusus, akan tetapi ia merangkumi keseluruhan 9 program yang dicadangkan sebelum ini sebagai suatu pendekatan membaik pulih sasaran yang semakin hari semakin tersimpang daripada jalan kebenaran bak panah yang tersasar. Rangkuman program ini harus dijana dan digerakkan oleh sasaran sendiri. Di sinilah yang akan mengajar mereka supaya menjiwai semangat 'islah nafsaka wad'u ghairaka'. Oleh itu, penulis berharap ia mendapat perhatian dan dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin demi melihat generasi kini tidak terus rosak dipukul taufan kebatilan.

Al-Faqir Ila Rabbih,

Nurulimanz al-Binanji

Friday, September 17, 2010

Paradigma Dakwah Yang Segar


Sebagaimana yang tersedia maklum, intepretasi dakwah adalah aktiviti menyeru manusia agar mentaati Allah dan menjauhi larangannya. Sejarah dakwah merakamkan ianya dimulai oleh nabi Nuh a.s. yang menyeru umatnya agar beriman kepada Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T. :

Sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya lalu ia berkata: "Wahai kaumku sembahlah Allah, sekali-kali tak ada Tuhan bagimu selain-Nya." Sesungguhnya (kalau kamu tidak menyembah Allah), aku takut kamu akan ditimpa azab hari yang besar (kiamat). (al-A'raff : 59)

Rentetan daripada pertembungan antara Islam dan jahiliah sejak zaman nabi Nuh a.s. hinggalah ke hari ini, maka dakwah juga tidak akan terhenti walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh mereka yang bencikan Islam bagi menamatkan riwayat dakwah.

Misalnya, apabila Rasulullah s.a.w. ditawarkan oleh para musyrikin Mekah dengan harta yang banyak, takhta yang tinggi dan wanita yang cantik supaya baginda meninggalkan usaha dakwah, baginda dengan tegas menolaknya dan tetap akan meneruskan perjuangan dakwahnya.

Semangat dan kefahaman tentang perjuangan dakwah dalam kalangan aktivis dan pendakwah pada zaman ini merupakan percikan semangat dan kefahaman nabi-nabi terdahulu, para pengikut setia mereka dan yang meneladani usaha mereka menjunjung Islam dari zaman ke zaman seperti Imam Hassan al-Banna dan Abul A'la al-Maududi.

Namun, zaman berubah dari semasa ke semasa. Maka, dakwah juga harus melalui transisi perubahan tersebut sesuai dengan zamannya. Paradigma dakwah perlu disegarkan dan diberi lonjakan serta kekuatan yang mampu membawa Islam mengatasi jahiliah yang berada dalam zaman ini. Dakwah perlu disuntik dengan elemen-elemen yang bersifat kontemporari dan sesuai kepada semua golongan.

Hanya tinggal retorik apabila kita cuma bijak berkata-kata, namun perlaksanaannya entah ke mana dan bagaimana. Persoalan yang ingin penulis timbulkan ialah, mengapa pada hari ini kita lihat jahiliah mampu mengatasi ajaran Islam dalam konteks pengamalan kehidupan manusia seharian?

Satu perkara yang mungkin kita terlepas pandang ialah kita selaku aktivis dan pendakwah mengalami sindrom TIDUR dan BUTA daripada menyedari dan melihat serta membaca realiti semasa. Aktivis mahupun pendakwah masih TERAGAK-AGAK dan BERKIRA-KIRA dalam melaksanakan tuntutan dakwah ini. Walaupun ramainya aktivis dan pendakwah serta banyaknya badan dakwah, namun KERJA BUAT DAKWAH KITA BELUM MEMUASKAN jika hendak dibandingkan dengan kemaraan jahiliah yang melanda umat Islam bagai thunami yang menggila.

Ayuh! Bangunlah dan celiklah. Persiapkan mentalmu, kentalkan fizikalmu, kukuhkan rohanimu dan tingkatkan segala kekuatan yang ada padamu untuk menyelusuri jalan dakwah ini dengan pacuan yang lebih bertenaga hingga musuh-musuh Islam gentar dengan kemaraan kita dalam perjuangan dakwah ini. Firman Allah S.W.T. :

Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan). (al-Anfaal : 60)

Friday, November 21, 2008

SeCaNgKiR pEnGoRbAnAn Di PeSiSiR pAnTaI rEdHa-NyA

Agak lama Nurulimanz tak berkongsi cerita dengan sahabat-sahabat tentang dakwah. Serasanya sejak Ramadhan lagi. Dalam kesempatan ini, Nurulimanz nak berkongsi pengalaman dakwah sebelum ini yang sempat Nurulimanz ikuti.

Ramadhan yang lepas, Nurulimanz dan bebrapa sahabat dari Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dijemput untuk menjadi fasilitator bagi Kem Mujahadah Ramadhan anjuran Persatuan Mahasiswa Islam Management and Science University (PMIMSU). Mutiara yang cukup berharga dalam kem ni bila berjumpa dan berbicara dengan salah seorang peserta kem ini yang 'kaya dengan sejarah hitamnya'. Dadah, arak, Clubbing, dan pelbagai lagi 'kotoran hitam' yang pernah dicalitkan pada hati dan akalnya suatu masa dulu. Bukan aib ini yang menjadi kejutan Nurulimanz, kerana Nurulimanz sedar ramai yang senasib dengannya. Namun perkara yang mampu membuatkan Nurulimanz menitiskan air mata ialah hidayah yang Allah campakkan ke dalam hatinya. Itulah jawapan yang mampu mengheret jasadnya ke dalam kem ini. Pernah dia luahkan segalanya pada Nurulimanz (sebagai fasilitatornya). Apa yang Nurulimanz mampu katakan adalah : "Sahabat, lihat sayyidina Umar al-Khattab, lebih buruk akhlaknya ketika jahiliyah. Dia 'bintang' dalam zaman jahiliyahnya. Namun apabila Allah campakkan hidayah ke dalam hatinya, beliau menjadi 'bintang' juga dalam Islam. Tidak mustahil ia juga akan berlaku pada kamu. Yang pentingnya adalah usaha kamu ke arah itu. Ramadhan dan kem ini anggaplah ia sebagai titik perubahan kamu menjadi seperti Umar". Peserta tersebut tersenyum, mudah-mudahan hatinya berbisik "insyaALLAH"...


Program seterusnya bersama sahabat-sahabat se-course dalam Pengurusan Dakwah dan Pembanguanan Insan. Kem Motivasi dan Ibadah untuk adik-adik Sekolah Kebangsaan Bukit Kuchai. Nampak kecil je, tapi alahai di mana silap daie-daie ni, bertegang antara team Pengurusan Dakwah dengan team Pembangunan Insan dalam fasa perancangan. Walaupun begitu, Alhamdulillah program akhirnya berjalan dengan lancar apabila para daie mengambil pendekatan wasathiyyah (pertengahan). Begitulah sahabat-sahabat, dalam melakukan gerak kerja ni, perlu ada 4 perkara dalam syura : 1) Bersangka baik kepada ahli syura. 2) Bersepakat dalam rujukan baku (al-Quran dan as-Sunnah). 3) Meraikan dan menerima perselisihan furu'iyyah (cabang). 4) Toleransi antara ahli syura. Dalam program ni, Nurulimanz memegang portfolio pengisian dan penyelaras. Ceramah pun diaorang sangkut atas belakang Nurulimanz. Muhasabah pun sangkut pada Nurulimanz. Hai bebudak ni, last-last Nurulimanz yang 'terbah', sapa nak tolong 'angkat'? Jangan lari sudah... Memang agak kelam-kabut program ni disebabkan faktor-faktor dari pihak sekolah juga. Jadi, pesan Nurulimanz, sediakan plan program yang pelbagai, supaya apa-apa perubaan drastik dari pihak luar dapat daie-daie atasi dengan mudah dan berkesan... Tinggalkan bab pengurusan sekejap, kita tengok apa yang best dalam program ni. Program ni campur antara muslim dan non-muslim, ibu bapa dan anak-anak mereka. Jadi Nurulimanz mula mengatur strategi bagaimana nak masukkan benang Islam ke dalam harum kejahilan mereka... Yup, semestinya yang pertama ialah isu tauhid. Ting... idea datang. Nurulimanz gunakan segala video-video menarik yang memang Nurulimanz stand by-kan dalam laptop dan Nurulimanz cuba olah menjadi sebati dengan tauhid. Alhamdulillah, penerimaan yang baik. Kalau silap teknik, maunya ibu bapa yang non-muslim termasuk guru-gurunya dah serang Nurulimanz dan urusetia lain (macam yang pernah belaku pada seorang sahabat Nurulimanz dalam program motivasi yang lepas).

Sebelum final exam, sempat lagi Nurulimanz berprogram bersama unit Bina Ummah Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM). Kali ni, Nuruliamanz terpaksa berdepan dengan mad'u yang lebih dewasa . Guru-guru dari salah sebuah sekolah di Kota Bharu, Kelantan. Tugas seperti semasa program Bina Ummah di Langkawi dahulu, pentazkirah dan teknikal. Dalam Seminar Bina Ummah selama 3 hari ini, banyak pengalaman dan ilmu yang dapat ditimba. Begitulah halnya daie, hakikatnya bukan kita sahaja yang memberi tetapi menolak apa yang baik yang diberi kepada kita. Bukan nak banned slogan Ustaz Hasrizal (Erti Hidup Pada Memberi) tau! Tapi Nurulimanz sendiri yang merasai bahawa erti hidup itu kepada memberi dan menerima. Yang menggembirakan Nurulimanz, seminar ini membuka banyak membuka ruang dan peluang (masa depan) pada Nurulimanz. Mana taknya, 3 pembentang, semuanya 'talian hayat' kepada dakwah dan kerjaya Nurulimanz pada masa hadapan. Syukur ya ALLAH... Dan istimewanya seminar kali ini, Nurulimanz dibantu oleh seorang sahabat baik dalam mengendalikan hal-hal teknikal. Syukran dan terima kasih banyak-banyak ya, sahabat... Moga ALLAH membalas jasa baikmu...

Hmmm... Program terkini bersama Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) ke Sungai Penchala dalam suatu misi kebajikan. Walaupun hanya ditugaskan menjadi driver, hati ini ALLAH sahaja yang tahu gembiranya dapat berjumpa sahabat-sahabat seperjuangan dari UM, UPM, UiTM dan UIAM. Yang Nurulimanz jumpa ni geng-geng yang infaq diri di jalan ALLAH ni. Hebatnya mereka. Sebab tu hati ini terlalu gembira menatap wajah-wajah mujahid/ah ini. Itu perkara yang menggembirakan. Namun misi ini tidak menjanjikan hati yang gembira sahaja. Sayu pula terasa bila tiba di tempat yang dituju. Di Sungai Penchala inilah sebuah rumah kebajikan terbakar dan mengorbankan 2 orang kanak-kanak serta mangsa yang terselamat terpaksa tinggal di tempat perlindungan sementara. Al-fatihah buat mangsa... Buat para daie, bukan tugas kita dakwah bil lisan (dengan perkataan) sahaja, tetapi kekuatan dakwah itu juga lebih terserlah dengan misi-misi kebajikan sebegini. Inilah dakwah bil hal (dengan akhlak) yang perlu sama-sama dititikberatkan.

Akhir pesanan daripada Nurulimanz, lihatlah mesej yang sebenarnya Nurulimanz ingin sampaikan di sebalik pengalaman Nurulimanz itu. Moga apa yang Nurulimanz sajikan dalam entry ini menjadi panduan bersama dalam menongkah dakwah pada masa hadapan.

Friday, August 8, 2008

DAIE MOSQUE...!

Masjid merupakan rumah Allah S.W.T. Sesiapa yang mengimarahkannya, ketenangan sentiasa bersamanya. Sesiapa yang beriktikaf di dalamnya, pahala mengalir kepadanya. Sesiapa yang membersihkannya, bidadari senantiasa menyebut-nyebut namanya. Rasulullah memahami akan semua ini, lalu perkara pertama yang baginda laksanakan setelah tiba di Yathrib (Madinah al-Munawwarah) ialah mendirikan masjid. Rasulullah memahami bahawa inilah pusat penyatuan ummah, pusat perancangan strategik, pusat penyebaran ilmu, pusat pembangunan insan, pusat diplomatik dan seumpamanya. Justeru, masjid dilihat 'hidup' pada zaman baginda.

Yang menyedihkan, masjid kini khususnya di Malaysia, tidak banyak yang mampu 'hidup' sepertimana di zaman Rasulullah s.a.w. Kebanyakannya 'layu terkulai' dengan kondisi yang sangat menyedihkan. Masjid yang ketika dahulu menjadi syiar dan lambang keizzahan Islam kini menjadi lambang kebejatan umat Islam. Mana tidaknya, dengan suasana yang tidak enak dipandang mata, fasiliti dan kemudahan yang tidak berfungsi, pengurusan pegawai masjid yang lemah, aktiviti pembangunan insan dan minda tidak mendapat perhatian masjid dan seumpamanya, sudah pasti ia menjadi 'modal' kepada musuh-musuh Islam yang suka memburuk-burukkan Islam serta mecari-cari kelemahannya. Justeru, Nurulimanz deklarasikan 10 ciri DAIE MOSQUE sebagai salah satu model masjid yang menepati fungsi-fungsi masjid sebenar disamping 'fesyennya yang kontemporari'.

1. Masjid Mesra Pelanggan
2. Pegawai Masjid Berminda Kelas Pertama
3. Sistem Pengurusan Digital
4. Program Pembangunan Insan Terancang
5. Etika Kawalan Intergriti
6. Komunikasi Berkesan
7. Mobilasi Kekuatan Dan Peluang
8. Galakan 'Research And Developement'
9. Pengurusan Kewangan Mapan
10. Pentadbiran Berwawasan

bersambunggg...

Thursday, July 31, 2008

Jom meriahkan FIESTA DAIE...

Sekarang Nurulimanz sudah berada di tahun akhir pengajian sarjana muda di Uni Perdana. Maka seharusnya Nurulimanz melepaskan secara berhemah segala tanggungjawab yang ada kepada mereka yang selayaknya. Dalam lajnah dakwah mahupun persatuan mahasiswa, Nurulimanz mengambil sikap 'bersahaja namun berbisa'. Eloklah sekiranya mereka yang baharu ini mengambil tempat dan peranan yang dikosongkan oleh brother dan sister mereka. Walaupun di luar lingkaran kepemimpinan, Nurulimanz akan sentiasa mencurahkan segala pengalaman dan idea dakwah sebagai pencetus kepada gerakan-gerakan yang mendatang. Kepada mereka yang sudi menerima pengalaman dan idea ini, Nurulimanz ucapkan ribuan terima kasih. Moga-moga ia bermanfaat kepada ummah seluruhnya. Pada kali ini, Nurulimanz ingin mengutarakan idea yang (mungkin) baharu bagi mereka yang ingin melaksanakan dakwah secara santai dan menghiburkan. Memperkenalkan FIESTA DAIE...Ha!!! Ada apa dengan FIESTA DAIE? Jom kita tengok...
  • Movie@FD : Sesiapa sahaja minat menonton movie. Tambah-tambah mereka yang bergelar muda-mudi. Tetapi menyedihkan, movie dakwah amat jarang mendapat perhatian. Maka Movie@FD mengambil peranan bagi menyuburkan rasa cinta kepada movie dakwah. Selain tayangan movie, forum ringkas, pertandingan mencipta movie ringkas berunsurkan dakwah dan penyebaran risalah juga boleh membantu Movie@FD mencapai objektifnya.
  • Concert@FD : Di tengah kesuburan rancangan realiti tv yang berbentuk hiburan muzik yang melalaikan, dakwah tidak harus berdiam diri. Maka Concert@FD tampil dengan revolusi muzik kontemporari yang mendidik jiwa. Bukan sekadar konsert seperti kebiasaan, ia juga tampil dengan nasyid berbahasa inggeris, cina dan tamil yang disampaikan oleh penyanyi muallaf, sesuai dengan kemajmukan Malaysia ini.
  • Frame@FD : Terlalu banyak gambar atau lukisan yang memberi gambaran tentang Islam dan elemen-elemen yang terdapat di dalamnya. Cuma ia tidak diketengahkan dalam masyarakat majmuk. Contoh gambar atau lukisan itu ialah kalimah 'Allah' atau seumpamanya yang terakam pada alam, kaligrafi khat, poster Islamik, kartun Islamik, gambar sejarah dan sebagainya. Apa yang disasarkan, Frame@FD dapat mempamerkan gambar atau lukisan berkenaan serta dapat dimuat turun untuk disebarkan kepada umum.
  • Game@FD : Manipulasi kreativiti mahasiswa bagi mencipta permainan (game) yang berunsurkan Islam disamping menganjurkan permainan Islamik yang sedia ada. Pertandingan diatur dalam beberapa kategori seperti aplikasi perisian permainan komputer, java bagi telefon bimbit, serta permainan manual yang menggunakan hardware. Pemenang akan mendapat habuan yang berpatutan. Game@FD pasti menghiburkan disamping ia dapat mendidik jiwa. Dengan kemampuan, permainan-permainan yang dicipta itu insya-Allah akan dikomersialkan melalui syarikat yang bekerjasama dalam menjayakan Game@FD ini.
  • Puitis@FD : suatu ketika dahulu, sajak, puisi dan pantun mampu menuntun non-muslim memasuki gerbang Islam melalui kata-kata puitis yang dihembus ke telinga dan hati mereka. Namun, kekuatan itu hampir terhakis daripada lidah-lidah seniman. Maka, Puitis@FD berhasrat mengembalikan kekuatan tersebut melalui penghasilan karya-karya serta deklamasinya.
  • Theater@FD : Seronok melihat telatah kawan-kawan di atas pentas? Theater@FD membuka ruang kepada mereka yang ingin mengasah bakat berdakwah melalui theater. Penganjurannya berbentuk pertandingan dan akan diadili oleh mereka yang berkemahiran dalam bidang theater.
  • Celebrity@FD : Antara kriteria selebriti yang dijemput ialah selebriti yang telah 'berhijrah' dalam konteks genre seninya iaitu daripada non-islamik kepada islamik. Hehe..bab ni Nurulimanz suka kalau penganjur jemput 'mbak' Inneke Koesherawaty dari Indonesia. Lagi seorang yang menjadi favourite Nurulimanz ialah 'ustaz rock'. Siapa lagi kalau bukan Akhil Hayy. Sure gempak Celebrity@FD ni, beb! Tapi jemput untuk apa? Untung kalau dapat beramah mesra dengan mereka di samping mengambil iktibar daripada mereka yang telah 'berhijrah'.
  • Fasion@FD : Seindah-indah pakaian ialah pakaian yang menutup auratnya. Justeru Fasion@FD mengambil inisiatif bagi menonjolkan busana-busana muslim dari butik-butik terpilih melalui peragaan oleh model. Fasion@FD ini juga diserikan dengan kuliah berkaitan aurat dan pakaian.
  • Kids@FD : Pertandingan pidato kreatif bagi adik-adik cilik menjanjikan kelainan daripada pidato yang biasa didengari. Melalui syarat-syarat yang ditetapkan, adik-adik cilik ini akan menyampaikan pidato disamping menggunakan metode lain seperti menyanyi, bersajak, berjenaka dan lain-lain. Harapannya, variasi ini akan menyuburkan metode yang lama supaya ia lebih segar dan bertenaga, sesuai dengan suasana realiti kini.
Buat akhirnya, Nurulimanz suka untuk mengungkapkan kata-kata keramat Imam Hassan al-Banna : " Kita bukanlah yang memulakan atau mengakhiri perjuangan, tetapi kita adalah mata-mata rantai perjuangan".

Thursday, July 17, 2008

Langkawi Tour!


Pengalaman bersama skuad Bina Ummah YADIM ke Langkawi pada 9 - 13 Julai 2008 bersifat ilmiah dan santai. Jadi Nurulimanz sengaja ceritakan di ruang ini tugasan program dan pengalaman peribadi di Langkawi kerana kedua-duanya pengalaman baru buat Nurulimanz serta ada pengajarannya. Pengalaman baru berhadapan dengan Pertubuhan Pergerakan Wanita Parlimen Baling dan pengalaman baru lemas dalam tasik Dayang Bunting.

Nurulimanz sebenarnya ditugaskan sebagai pentazkirah dan imam solat sepanjang program berlangsung. Agak mencabar juga bagi Nurulimanz dalam menyampaikan tazkirah kepada mereka yang lebih awal 'makan garam' daripada Nurulimanz. Lagi pula sudah lama Nurulimanz tidak menyampaikan tazkirah dimana-mana kerana tiada peluang. Justeru denagan peluang yang diberi oleh YADIM, Nurulimanz cuba melaksanakannya dengan sebaik mungkin. Alhamdulillah, sasaran dapat menerimanya dengan baik serta memberi respon yang positif. Yang hairannya, secara spontan terpacul jenaka-jenaka yang Nurulimanz tak pernah lakukan dalam mana-mana tazkirah sebelum ini. Nurulimanz anggap ini kurniaan ilham daripada Allah. Apa yang penting, Nurulimanz ingin tekankan bahawa jenaka memainkan peranan dalam keberkesanan dakwah. Kerana apa Nurulimanz berkata begini? Kerana wujud suatu ikatan kemesraan apabila ketawa bersama-sama. Dan kemesraan itu salah satu keperluan dalam menyampaikan dakwah. Lihat sahaja contoh mesranya Rasulullah terhadap sasaran dakwahnya hatta mereka yang beragama nasrani sekalipun. Begitulah pengalaman dan pengajaran yang Nurulimanz dapat.

Satu lagi pengalaman yang Nurulimanz suka ceritakan di sini ialah lemas dalam Tasik Dayang Bunting. Nurulimanz tidak menjangka disebalik perjalanan menaiki bot laju membelah lautan menuju ke Tasik Dayang Bunting yang sangat menyeronokkan, suatu pengalaman buruk sedang menanti di sana. Pada mulanya tiba di sana, hati ini bertasbih melihatkan suasana yang indah, ketenangan air tasik nan 'kehijauan' serta bukit yang berbentuk manusia yang sedang mengandung berbaring, kononnya itulah 'Dayang Bunting'. Kcburrrrr...seorang rakan terjun diikuti seorang lagi. Melihatkan mereka seronok berenang-renang dalam tasik itu, Nurulimanz tidak mahu terlepas peluang lalu apa lagi...Nurulimanz pun terjunlah agak-agak di tengah sedikit tanpa mengambil nafas terlebih dahulu. Fikir Nurulimanz, bolehlah melonjak ke atas bila sampai ke dasar tasik. Tapi malang, Nurulimanz tidak jumpa dasarnya. Panik Nurulimanz. Apa lagi, tenggelam timbullah Nurulimanz terkapai-kapai. Mungkin pertolongan daripada Allah, Nurulimanz dihanyutkan hingga berhampiran pelantar dan dapat ditarik oleh seorang rakan ke atas pelantar. "Itu la pasal... jangan main terjun saja!"pesan seorang rakan. Ketika itu Nurulimanz lemah akibat terminum air tasik yang banyak. Setelah berehat sebentar, Nurulimanz yang masih tidak puas menikmati air tasik terjun semula ke dalam tasik. Ops...kali ini dengan jaket pelampung la beb! Tak mau Nurulimanz tempah maut sekali lagi! Dengar kata seorang rakan, siapa pun belum dapat teroka dasar Tasik Dayang Bunting kerana tekanan di dalam tasik itu terlalu kuat. Maknanya tasik itu sangat dalam kerana semakin dalam sesuatu tadahan air (tasik, laut dll...), semakin kuat tekanannya. Tebing tasik itu sahaja tidak kurang dari 40 kaki dalam sedangkan tinggi Nurulimanz lebih kurang 5 kaki sahaja!

Dalam dakwah pun begitu juga, jangan 'pakai sumbat' dan 'tangkap muat' sahaja program tanpa meneliti dahulu sasaran dakwah dan suasananya serta bahan yang diperlukan dalam dakwah tersebut. 'Lemas' pendakwah tersebut dibuatnya. Jadilah orang yang bijak berdakwah (perancangan dan perlaksanaanya) supaya ia lebih berkesan. Ambil kira aspek sasaran, bahan dakwah, metode, saluran, , kekuatan dan peluang, masalah dan ancaman dakwah dan sebagainya. Barulah gempak dakwah tu..!

Friday, July 4, 2008

Nurulimanz di YADIM...

Hari ini tamatlah Latihan Industri (LI) Nurulimanz di Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) setelah 2 bulan berkhidmat di sana. Nurulimanz kagum dengan profesion yang terdapat di YADIM. Bina Ummah, NGO yang terbahagi kepada 3 bahagian : (Nadwah Ulama' Ilmuan Malaysia, Majlis Amal Islami Malaysia, Majlis Perundingan Wanita Islam Malaysia), Sukarelawan Al-Falah dan pelbagai lagi profesion. Kesemuanya bergerak atas satu landasan iaitu menyelusuri jalan dakwah di Malaysia khususnya dan seluruh dunia umumnya. Siapa yang tidak mengetahui tentang program mega seperti Pameran Produk Halal MIHAS, Multaqa Sedunia Alumni Al-Azhar dan Majalah Millenia Muslim, Forward serta Aniqah. Inilah di antara hasil kerja kuat warga YADIM. Kredit buat mereka. Atas kesungguhan mereka inilah, Nurulimanz ingin sangat menjalani LI di sana.

Program pertama yang
Nurulimanz ikuti semasa menjalani LI ialah Majlis Anugerah Ibu Malaysia. Majlis tersebut dirasmikan oleh Raja Permaisuri Agung Tuanku Nur Zahirah. Anugerah Ibu Malaysia ini diberi kepada ibu-ibu yang dikira berjaya dalam mengharungi pelbagai cabaran hidup, tanpa mengambil kira agama dan bangsa. Majlis yang dihadiri oleh penganut pelbagai agama ini memberi signal (petanda) yang jelas bahawa dalam dakwah, kita perlu meraikan penganut agama lain sesuai dengan tuntutan sosial dan norma kemasyarakatan selagi tidak bertentangan dengan dasar Islam. Dengan cara ini, mereka (penganut agama selain Islam) merasakan bahawa Islam itu agama yang jinak dan mesra seterusnya melahirkan persepsi yang baik terhadap Islam. Moga-moga suatu hari nanti, mereka akan berminat untuk mengenali Islam dengan lebih dekat dan akhirnya mengambil keputusan untuk memeluk agama yang syumul (sempurna) ini.

Seterusnya, Nurulimanz mengikuti program Muzakarah Pengamatan Islam yang diadakan di Pulau Pangkor, Perak. Program anjuran bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang dan Maktab Perguruan Tengku Bainun Pulau Pinang ini memberi pendedahan kepada peserta tentang aspek-aspek fundamental (asas) dalam Islam. Selain itu, aktiviti perbincangan dan perbahasan juga diadakan. Aktiviti riadhah di sekeliling Pulau Pangkor memberikan kesegaran pada minda peserta yang nampaknya keletihan setelah seharian memerah otak memikirkan penyelesaian masalah ummah, selain dapat mengeratkan hubungan antara peserta. Nurulimanz sangat setuju dengan jadual sebegini. Kerana apa? Dalam apa jua aktiviti dakwah, perlu seimbang antara mujahadah dan mu'santai'ah. Ini akan mengawal minda dan emosi supaya berada pada tahap dan stabil. Macam bateri handphone juga, perlu recharge, barulah bertenaga, beb!

Program seterusnya, Nurulimanz ingin membawa anda ke Skudai, Johor. Ada apa di sana? Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia menjadi gelanggang tiga orang panelis Forum Perdana Ehwal Islam. Penontonnya...MasyaAllah, ramai dan terdiri daripada pelbagai penganut agama. "Ini sudah baeeek" fikir Nurulimanz. Tapi macam mana boleh berlaku keajaiban ini? Rupa-rupanya tetamu yang hadir mengikuti forum tersebut ialah pelajar-pelajar baru (freshies) universiti berkenaan. Kena rela paksa hadir la tu...Nurulimanz tidak memandang itu suatu yang negatif. Malah Nurulimanz berpendapat perlunya cara rela paksa atau dengan kata lain berhikmah dalam paksaan. Dalam hal ini, kuasa yang ada pada Pembantu Mahasiswa digunakan bagi mengarahkan semua freshies menghadiri forum tersebut dalam rangka jadual Minggu Haluan Siswa. Alhamdulillah, penerimaannya sangat positif... Yang lebih menjadikan Nurulimanz teruja ialah Nurulimanz dapat bersemuka dengan salah seorang tokoh ilmuan Islam Malaysia, Prof. Dr. Uthman El-Muhammady. Memang sekian lama terpendam di hati Nurulimanz ingin bersua dengannya. Alhamdulillah, tecapai juga hasrat ini.

p/s : bersambung dengan pengalaman di LANGKAWI pula nanti.tunggggu...

Wednesday, June 25, 2008

NURULIMANZ ISLAMIC THEME PARK


Salah satu impian Nurulimanz ialah ingin mendirikan NURULIMANZ ISLAMIC THEME PARK. Taman ini menjanjikan keseronokan dan hiburan buat seisi keluarga disamping tujuan utamanya iaitu menyampaikan mesej Islam kepada pengunjung yang hadir. Ye la...asyik asyik, water theme park je yang dibangunkan. Tiada siapa yang ingin bangunkan Islamic Theme Park.

Plannya lebih kurang beginilah...Dari pintu gerbang naik "SPERM TRAIN" hingga ke "OVUM STATION" melalui "LANDASAN KELAHIRAN". Di dalam train itu, pengunjung akan diberi penerangan melalui audio video tentang kehebatan ciptaan Allah iaitu kejadian manusia bermula daripada percantuman sperma dan ovum sehinggalah manusia itu dilahirkan ke dunia.

Turun daripada stesen, pengunjung akan terus memasuki "AUDITORIUM DUNYAFANA". Di auditorium ini, pengunjung disajikan dengan pementasan tentang hakikat dunia yang dicipta oleh Allah dan dihuni oleh pelbagai ciptaan-Nya.

Kemudian pengunjung akan melalui sebatang jalan sempit dan suram menuju ke "IBLIS CAVES". Di dalam gua, pengunjung akan disajikan dengan visual dan latar cahaya yang akan memberi gambaran dan kefahaman sebenar tentang hakikat iblis.

Keluar daripada gua, pengunjung akan ditunjuki jalan ke "KAMAR TAUBAH". Di kamar ini, pengunjung akan imej dan slide mengenai taubat.

Sesudah itu, "CINEMUSLIM" akan menanti kunjungan. Cinemuslim adalah nama lain bagi cinema (pawagam) yang bercirikan Islamik. Islamik dari segi filemnya mahupun susun atur programnya.

Setelah bergembira di cinemuslim, pengunjung akan berkunjung pula di "BAHTERA SENI ISLAM". Muzim berbentuk bahtera ini mengandungi pelbagai model ciptaan dan seni umat Islam. Ia bukan hanya sekadar pameran, malah pengunjung dapat mengetahui maklumat lengkap mengenai model ciptaan dan seni umat Islam itu melalui kemudahanskrin sentuh yang disediakan.

Kemudian, "ISTANA MAWADDAH" pula menjadi tempat persinggahan pengujung. Penerapan nilai mawaddah (kasih sayang) dan tanggungjawab kepada Allah, Rasulullah, ulama', ibu bapa, keluarga dan pasangan (suami isteri) menjadi agenda utama dalam program di istana ini.

Setelah itu, pengujung akan ke "TEKNO-MUSLIM", sebuah makmal yang mempamerkan kehebatan Sains Islam. Pameran berteknologi ini pasti memukau pengunjung.

Seterusnya, "COLISCON" menanti pengunjung. ia adalah singkatan nama kepada Collesium of Islamic Concert. Bangunan berbentuk kolesium ini bukan lagi menjadi gelanggang pertarungan lembu, tetapi menjadi gelanggang halwa telinga.

Sebelum tiba di "MAHSYAR STATION", pengunjung perlu melalui "TEROWONG BARZAKH" terlebih dahulu. Di dalam terowong, pengunjung akan dikhabarkan tentang berita kematian melalui audio dan video.

Dari mahsyar station, pengunjung akan menaiki "MUSTAQIM TRAIN" melalui "LANDASAN SIRAT" menuju ke pintu gerbang untuk keluar. Semasa dalam train, pengunjung akan dikhabarkan tentang berita akhirat iaitu destinasi manusia yang terakhir.

Mampukah Nurulimanz merealisasikannya? Seandainya Allah mengizinkan, impian ini Nurulimanz akan jadikannya kenyataan... Kalaupun bukan Nurulimanz yang membangunkanya, harapan menggunung sekiranya ada hamba Allah yang lain dapat membinanya...

Monday, June 23, 2008

Perkampungan Daie Mewarnai Uni Perdana


Projek mega Perkampungan Daie merupakan sebuah program hasil cetusan minda Nurulimanz dalam memacu dunia dakwah kontemporari. Alhamdulillah, Perkampungan Daie berjalan lancar dengan bantuan pensyarah-pensyarah dan sahabat-sahabat Akademi Pengajian Islam khususnya daripada Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan. Projek yang bernilai hampir RM 70 000 ini mengandungi 13 sub-program yang dijalankan selama 8 hari berturut-turut. Sidang media (D'MEDIA) yang dilangsungkan pada 11 Februari 08 mendapat liputan daripada suratkhabar Utusan, Kosmo! , Metro, Sinar Harian serta majalah Anis.

Program dimulakan pada 16 Feb dengan Motivasi Asakan Minda (D'BOOSTER). Pada 17 Feb, berlangsung Majlis Pembukaan Perkampungan Daie (D'OPENING). 18 Feb, Wacana Ilmiah Psikologi Dakwah (D'WISDOM) berjalan dengan jayanya. Seterusnya Bengkel Kemahiran Menulis Skrip dan Melukis Komik Untuk Berdakwah (D'ART) berlangsung pada 19 Feb. Pawagam Dakwah (D'CINE) dibuka pada 20 Feb. 21 Feb, Konsert Gemerlpan Islam (D'ENTERTAIN) mendapat sambutan hangat. 22 Feb, 10 peserta berentap di atas pentas Pertandingan Pidato Daie Cilik (D'SMALL STARZ). 23 Feb, Seminar Dakwah Masyarakat Majmuk (D'MASYK) menjadi pilihan para daie. 24 Feb padat dengan 3 sub program dimulai dengan Dialog Antara Agama (D'DIALOGUE) pada sebelah pagi. Petangnya, Kembara Dakwah Berbasikal (D'XPDC) berlangsung dan malamnya dihiasi dengan Majlis Makan Malam (D'CLOSING) sempena penutupan Perkampungan Daie. Sepanjang perkampungan Daie berlangsung, aktiviti jualan produk dan tawaran perkhidmatan serta pameran agensi beroreantasikan dakwah (D'INFO) berlangsung dalam bangunan Akademi Pengajian Islam.

Kredit buat penyumbang dana daripada Majlis Agama Islam Negeri dan JAKIM. Untuk maklumat lanjut berkenaan Perkampungan Daie, bolehlah melayari Muzium Maya Perkampungan Daie di www.perkampungandaie.blogspot.com

Di sebalik paparan ini, Nurulimanz mengharapkan idea-idea bernas dan kritikal dalam dunia dakwah terus subur di minda pejuang-pejuang Deen Allah. Bukan maksud Nurulimanz ingin menolak metode dan strategi terdahulu, tetapi Nurulimanz berpendapat metode dan strategi terdahulu perlu diberi nafas yang lebih segar di samping mencipta metode-metode kontemporari yang baharu.


Thursday, June 19, 2008

SIMPOSIUM BRING ISLAM BACK!...


Simposium Bring Islam Back! adalah cetusan idea Nurulimanz bagi mengumpulkan persatuan-persatuan beroreantasikan dakwah khususnya di negeri kelahiran Nurulimanz, Pulau Mutiara. Simposium yang pertama pada tanggal 19-21 Mei 07 menyaksikan 18 pemuda-pemudi daripada pelbagai persatuan mula membarisi saff kesatuan. Alhamdulillah, beberapa kata sepakat dicapai secara bersama.

Lanjutannya, Simposium Bring Islam Back! ke-2 berlangsung pada 16-18 November 07. Simposium kali ini memperlihatkan jiwa-jiwa pemuda-pemudi Pulau Mutiara sudah memberontak ingin bersama bersatu dengan saff Bring Islam Back! Seramai 50 pemuda-pemudi daripada pelbagai persatuan berkumpul untuk berdiskusi serta mencapai kata sepakat seterusnya mengukuhkan saff Bring Islam Back! demi cita-cita bersama mendokong risalah Islam di Pulau Mutiara ini.

Antara persatuan yang intima' (bersama) dalam Simposium Bring Islam Back! ini ialah Angkatan Pemuda-Pemudi Islam (API), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA), Penang Muslim Student Association (PISA), Pergerakan Perkhidmatan Masyarakat USM
(PPMUSM), Persatuan Pelajar Islam Japan Malaysia Technical Institute (JMTI), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Persatuan Mahasiswa Islam USM (PMIUSM), Pusat Islam Politeknik Seberang Perai (PIPSP), Pertubuhan Himpunan Lepasan Institut-Institut Pengajian Tinggi Malaysia (HALUAN), Persatuan Mahasiswa Ar-Razi (PERMAR), Biro Usrah dan Dakwah Institut Perguruan Tungku Bainun, Kelab Remaja Lestari (KRL), Persatuan Agama Islam Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan NISA' yang kesemuanya berpusat atau cawangannya di Pulau Pinang. Kredit buat semua persatuan.

Nurulimanz bukan sekadar mengkhabarkan tentang sebuah simposium, namun jauh dalam lubuk hati yang tersirat mengharapkan simposium ini juga dicetuskan di negeri-negeri lain supaca cita-cita Islam dapat didokong secara bersama dan sistematik. Persoalannya siapa yang akan mencetuskannya? Adakah anda yang sedang membaca lembaran ini? Tepuk dada tanya iman...Sebagai mengakhiri lembaran ini, Nurulimanz ingin mengungkap kembali bait indah yang pernah meniti di bibir Imam Hassan Al-Banna :

" Andai diumpamakan Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir roboh, maka aku akan berjalan ke seluruh pelusuk dunia untuk mencari jiwa-jiwa muda. aku tidak mengharapkan ramainya mereka, tetapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk bersamaku membina kembali bangunan usang itu hingga menjadi istana yang tersergam indah "