Tuesday, January 20, 2009

Menyingkapi Takbir Kemenangan Pro-Mahasiswa UM

Dewan Tunku Canselor UM bingit tanggal 20 Januari 2009 pada pukul 4.00 pagi dengan laungan "takbir" serta sorakan "student power" dari pro-mahasiswa UM. Kelihatan beberapa penyokong menitiskan air mata dalam sujud syukur kepada Allah S.W.T. yang memberikan kemenangan berpihak kepada Pro-M UM. Kemenangan 'tipis' yang dikecapi oleh Pro-M UM adalah manifestasi kesungguhan jentera Pro-M UM dalam membuka minda mahasiwa dengan slogan "hope & change". Terngiang-ngiang di telinga Nurulimanz dikala menyambut kemenangan itu sebuah firman Allah S.W.T. dalam surah al-Baqarah ayat 249 yang dibacakan oleh saudara Presiden Mahasiswa Islam UM ketika kami jentera Pro-M selesai melaksanakan munajat pada pukul 5 pagi, 19 Januari 09.


Firman Allah S.W.T. : "Maka tatkala Thalut keluar membawa tentaranya, ia berkata: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan suatu sungai. Maka siapa di antara kamu meminum airnya; bukanlah ia pengikutku. Dan barangsiapa tiada meminumnya, kecuali menceduk seceduk tangan, maka dia adalah pengikutku." Kemudian mereka meminumnya kecuali beberapa orang di antara mereka. Maka tatkala Thalut dan orang-orang yang beriman bersama dia telah menyeberangi sungai itu, orang-orang yang telah minum berkata: "Tak ada kesanggupan kami pada hari ini untuk melawan Jalut dan tentaranya." Orang-orang yang meyakini bahwa mereka akan menemui Allah, berkata: "Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar." Sungguh! jentera kami di peringkat Pro-M sangat sedikit iaitu mahasiswa yang hanya berbekalkan semangat dan kefahaman yang mendalam terhadap perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan. Sedangkan pihak yang 'berhaluan kiri' sana mempunyai jentera yang sangat ramai dan kuat terutamanya sokongan tenaga dan kewangan daripada TNC HEP dan konco-konconya yang ditempatkan di setiap kolej kediaman. Muak untuk memanjangkan kebobrokan yang berlaku (jika nak tau, boleh layari mahasiswakini.com dan malaysiakini.com), Nurulimanz kini cuba memandang dari sudut kemenangan Pro-M (baca kemenangan Islam di kampus).


Pro-M menang 21 kerusi daripada 41 kerusi yang dipertandingkan. Berbeza dengan pilihanraya kampus yang lalu, Pro-M hanya memenangi 9 daripada 41 kerusi.Ini termasuk dua calon pakatan dari Fakulti Undang-Undang yang bertanding melalui tiket bebas. Bagi calon kerusi umum, Pro-M membolot 8 kerusi daripada 9 kerusi yang dipertandingkan semalam. Berbeda dengan pilihanraya kampus yang lepas yang hanya mampu merebut 3 kerusi umum. Persoalannya apakah kemenangan ini merupakan kemenangan 'tipis' atau kemenangan 'besar' Pro-M (baca kemenagna Islam) di UM?


Bagi Pandangan Nurulimanz, kedua-dua kenyataan tersebut adalah benar apabila kita memandang dari sudut yang berbeza. Pertama, Pro-M dikatakan menang 'tipis' apabila dilihat pada sudut jurang kuantiti iaitu melebihi 1 kerusi. Itu pun apabila kita lihat pada sudut pandang semasa tanpa menoleh kepada keputusan pilihanraya kampus yang lepas. Akan tetapi jika dibandingkan dengan kemenangan kerusi yang lepas, kerusi Pro-M telah meningkat sebanyak 12 kerusi keseluruhannya. Jika ditinjau khusus dari sudut kerusi umum pula, ia meningkat sebanyak 6 kerusi.


Jika dilihat dari sudut pandang kualiti, Nurulimanz tegas menyatakan bahawa kemenangan Pro-M sesi 2008/2009 ini adalah suatu kemengan yang amat besar dan cukup bermakna setelah usaha dan strategi yang dicatur membuahkan hasil. Pengorbanan jentera dan pendokong Pro-M yang mengeluarkan wang saku sendiri bagi membiayai kos sepanjang tempoh pilihanraya, mengorbankan waktu tidur demi usaha memenangkan Pro-M, menjadikan jasad badan sebagai perisai dan benteng serta mengerahkan akal fikiran demi perjuangan mendaulatkan Islam di kampus ternyata ada keberkatannya.


Selaut ucapan tahniah buat calon-calon Pro-M UM yang telah menjadi juara di pentas demokrasi kampus. Segunung terima kasih atas pengorbanan sahabat-sahabat seperjuangan dari kampus-kampus lain yang hadir bagi memberi semangat kepada Pro-M UM, jentera Pro-M, pendokong serta penyokong Pro-M. Sesungguhnya kemenangan ini adalah kenangan terindah dalam perjuangan menegakkan 'kalimatul haq' di bumi Uni Malaya ini setelah kita semua tidak mengecapinya selama 5 penggal yang lalu. Takbir !!!

0 comments: