Tuesday, November 16, 2010

Kembali Merujuk Islam !


Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat Rasulullah, pembimbing ummah akhir zaman. Marilah kita bersyukur kepada Allah, dengan limpah kurnia-Nya dapat kita hadir ke masjid yang mulia ini. Mudah-mudahan Allah terima amal soleh kita dahulu, kini dan selamanya dan terhitung sebagai keuntungan di hari kita bertemu Allah nanti.

Kita lihat ummat akhir zaman makin lalai daripada perintah-perintah agama. Semuanya mengejar kebendaan, pangkat, harta seolah-olah di sinilah tempat akhirnya kita dan di sinilah matlamat kita. Kita lupa Allah menciptakan kita di muka bumi ini sebagai khalifah. Khalifah ialah orang yang menjalankan kehendak-kehendak Allah melalui hukum-hukumnya yang diturunkan dalam al-Quran dan melalui lidah nabiNya.

Kita lupa Allah ciptakan manusia untuk beribadah kepada-Nya dan menjadi hamba-Nya yang taat. Tetapi kita lihat pada hari ini sudah lari daripada tujuan penciptaan ini. Manusia tidak lagi menjadi hamba Allah. Manusia menjadi hamba sesama manusia, juga hamba kebendaan dan pangkat bahkan hamba kepada iblis dan syaitan. Buktinya kita lihat dalam sesebuah qaryah misalannya mempunyai 200 buah keluarga, hanya 10 orang sahaja yang datang ke surau dan masjid untuk solat berjemaah dan duduk dalam kuliah-kuliah ilmu. Tetapi kalau panggilan untuk mencari harta, sampai kosong isi rumah pun tidak mengapa. Inilah keadaan umat Islam akhir zaman. Tiada lagi keislamannya melainkan pada nama.

Terbukti benarlah Rasulullah s.a.w. bersabda : “Di akhir zaman, tidak tinggal daripada Islam melainkan hanya pada nama.” Perbuatannya tidak Islam. Percakapannya tidak Islam. Rezeki yang dicarinya tidak bertepatan dengan Islam. Nama pada kad penganalan saja nama Islam, tapi akhlak mereka tak ubah seperti Yahudi dan Nasrani. Enggan sujud kepada Allah.

Jutaan umat sanggup berhijrah jauh demi mengejar harta, tapi tidak sanggup untuk ke majlis ilmu dan solat berjemaah walaupun tak jauh mana antara rumah dengan surau atau masjid. Macam-macam alasan untuk ke surau dan masjid, tetapi mereka tak beri alasan untuk ke tempat kerja. Kerana kerja di dunia menjanjikan gaji dibayar setiap bulan, akan tetapi kerja dengan Allah, gajinya berlipat kali ganda, dibayar di akhirat nanti, maka manusia dicipta dengan sifat mahu capat, maka manusia cenderung dengan gaji duniawi, hingga tiada yang mahu bekerja dengan Allah melainkan sedikit. Adakah kita termasuk golongan yang sedikit ini. Tepuk dada, tanyalah iman masing-masing.

Lihat pada keluarga masing-masing daripada datuk nenek, saudara mara hingga ke cucu cicit, berapa orang yang mencari ilmu agama dan sempurna ibadahnya. Kita boleh bilang dengan jari. Tetapi kalau tentang mencari dunia, tak terlepas seorang pun. Sebab itu kita lihat sekarang manusia cukup dengan harta dunia tetapi jahil dengan ilmu akhirat. Inilah yang Allah sebut dalam al-Quran : “Dan sesungguhnya majoriti umat manusia jahil-jahil belaka (tentang agama)”.

Oleh itu, penulis menyeru pembaca sekalian untuk kita sedaya upaya mendalami ilmu agama seperti mengahdiri seminar-seminar, kuliah-kuliah dan ceramah-ceramah yang dianjurkan oleh badan kerajaan, badan bukan kerajaan serta masjid-masjid dan surau-surau. Di Masjid Ar-Rahman sendiri, setiap malam dihiasi dengan kuliah-kuliah maghribnya, kuliah zohor setiap hari Isnin dan Khamis, ditambah lagi dengan kuliah Jumaat, dan kuliah subuh setiap hari Ahad, moga-moga bermanfaat kepada jemaah sekalian.

(Entri ini adlh percubaan utk Nurulimanz menerbitkan risalah di masjid Ar-Rahman)

0 comments: