Monday, June 20, 2011

mAdRaSaH TaRbiYah RaMaDhAn GaSaKaN mEnUjU iMaN

(entry kali ini cuba memberi idea kepada sesiapa sahaja yang ingin mempelbagaikan program dalam bulan Ramadhan. Juga khusus sebagai respon kepada tauke Pasembur Pulau Mutiara yang menginginkan penglibatan pelanggannya dalam sumbangan idea ke arah menyedapkan lagi pasembur yang dijualnya nanti...)


1. Kuliah Motivasi Ramadhan :

Membicarakan tentang sikap berpuasa salafus soleh, membentangkan hadith-hadith fadhail ramadhan, mengupas hikmah berpuasa yang tercatat dalam al-quran, faedah-faedah berkaitan sains, dan seterusnya memberi gambaran jelas tentang natijah yang diperolehi daripada memanfaatkan Ramadhan. Dilaksanakan semasa pelancaran program Madrasah Tarbiyah Ramadhan.

2. Talaqqi al-Quran :

Bukan sekadar tadarrus, bahkan program ini lebih menjurus kearah bimbingan mursyid memperbetulkan bacaan, seterusnya mengupas isi kandungan ayat yang ditalaqqi serta menguji hafazan ayat-ayat lazim berkaitan keimanan, ibadah dan akhlak. Cadangan untuk dilaksanakan seminggu 2 kali. Di fasa akhir Ramadhan, boleh diusahakan Majlis Khatam al-Quran beserta Majlis Ifthar Istimewa.

3. Risalah Ubat Hatiku, Islah Akhlakku :

Risalah menarik berbentuk buku bacaan ringan yang memaparkan kisah hidup idola Islam yang berjaya misalnya Rasulullah s.a.w. dan para sahabat, Sultan Muhammad al-Fateh, Salahuddin al-Ayyubi, Tokoh-tokoh ilmuan Islam yang lain serta mereka yang dikasihi Allah. Juga memaparkan teguran-teguran membina dalam bentuk poster atau karikatur yang menarik. Selain itu, disarankan agar membuka peluang dan ruang bagi sasaran merespon melalui kuiz atau surat luahan rasa yang dilampirkan. Boleh juga memuatkan fadhilat dan kaifiyat amalan-amalan qiamullail.Cadangan untuk dilaksanakan 3 kali mengikut fasa ramadhan.

4. Nur Qalbi :

Lazimkan memasang alunan ayat suci al-Quran dan zikir pada kekerapan luar dari kebiasaan agar sasaran sentiasa menikmatinya sebagai santapan rohani…

5. Saham Akhirat :

Menyediakan tabung untuk melazimkan bersedekah. Tabung ini pada akhirnya akan disedekahkan kepada badan amal dan rumah kebajikan yang terpilih. Sebelum tabung ini dilancarkan, sesi penerangan khas berkaitan sedekah / infaq pada jalan Allah halus dilaksanakan agar program ini lebih berkesan. 2 kaedah yang digunakan iaitu tabung statik dan tabung bergerak setiap hari.

6. Malam Muhadharah :

Program hiburan sambil mendidik jiwa ini membuka peluang kepada sasaran menyerlahkan bakat terpendam melalui apa jua bentuk kesenian Islam seperti bersajak, nasyid, pentomin dan sebagainya dengan tema, Ramadhan Merawat Hati dan Akhlakku’. Persediaannya pada awal Ramadhan dan pelaksanaannya sama ada di tengah atau di hujung Ramadhan.

7. Ramadhan Sentuhan Qalbu :

Motivasi pecutan fasa akhir Ramadhan ini dilakukan bagi menyentak hati dan jiwa yang masih belum mahu berubah walaupun telah melalui fasa awal dan pertengahan Ramadhan. Sebuah forum beremosi dilaksanakan bagi menggasak emosi sasaran agar segera berubah dan menjadikan Ramadhan kali ini sebagai ‘tuning point’ dalam perubahan iman, hati dan amalan zahir.

8. Menerpa Lailatul Qadr :

Iktikaf dan memperhebatkan ibadah pada 10 malam terakhir adalah amalan yang amat dicintai oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat serta orang-orang yang soleh. Demi meraih redha Allah dalam malam Lailatul Qadr, maka program iktikaf ini dilaksanakan sebagai pecutan akhir dalam fasa akhir bulan Ramadhan. Antara ibadah yang dilaksanakan ialah solat-solat sunat, membaca al-Quran dan melazimi berzikir.

9. Dapur Ramadhan :

Setelah melalui santapan-santapan rohani untuk diri sendiri, sampailah masanya diketengahkan program untuk kemasyarakatan dan ukhwah sesama sasaran. Cadangan memasak secara bergotong-royang ini dilaksanakan secara berkumpulan dan diketuai oleh sesama sasaran. Program ini juga bertujuan mewujudkan rasa hormat dan kerjasama sesama mereka.

10. Inilah Madrasah Tarbiyah Ramadhan :

Ia bukanlah sebuah program khusus, akan tetapi ia merangkumi keseluruhan 9 program yang dicadangkan sebelum ini sebagai suatu pendekatan membaik pulih sasaran yang semakin hari semakin tersimpang daripada jalan kebenaran bak panah yang tersasar. Rangkuman program ini harus dijana dan digerakkan oleh sasaran sendiri. Di sinilah yang akan mengajar mereka supaya menjiwai semangat 'islah nafsaka wad'u ghairaka'. Oleh itu, penulis berharap ia mendapat perhatian dan dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin demi melihat generasi kini tidak terus rosak dipukul taufan kebatilan.

Al-Faqir Ila Rabbih,

Nurulimanz al-Binanji

0 comments: