Monday, March 30, 2009

Hanya satu kisah...

Bacalah kisahnya... Dan sekiranya ada titisan air mata bercucuran, maka anda memahami dan menghayati cerita ini...
Sayunya cerita ini apatah lagi kepada yang mengalaminya...

Hanya satu kisah...

Aku cuma ada seorang adik. Lelaki. Dan usianya tiga tahun lebih muda daripada aku. Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai sapu tangan yang menjadi keperluan anak gadis ketika itu, aku ambil 50 sen dari poket seluar ayah.

Petang itu, pulang saja dari sekolah, ayah memanggil kami berdua. Dia meminta aku dan adik berdiri di tepi dinding. Aku menggeletar melihat rotan panjang sedepa di tangan ayah.

"Siapa ambil duit ayah?" tanya ayah bagai singa lapar.

Aku langsung tidak berdaya menentang renungan tajam mata ayah. Kedua-dua kami membisu,cuma tunduk memandang lantai.

"Baik, kalau tak mengaku, dua- dua ayah rotan!" sambung ayah sambil mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang aku.
Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah tangannya sambil berkata, "Saya yang ambil!"

Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu, hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh adik.

Aku gamam, lidah kelu untuk bersuara. Walau perit menahan sakit, setitis pun air mata adik tak tumpah. Setelah puas melihat adik terjelepok di lantai, ayah merungut.

"Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi perbuatan kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?"

Malam itu, emak dan aku tak lepas-lepas mendakap adik. Belakangnya yang berbirat dipenuhi calar-balar cuba kami ubati. Namun adik cukup tabah. Setitis pun air matanya
tidak mengiringi kesakitan yang mencucuk-cucuk.

Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati, kesal dengan sikap aku yang takut berkata benar. Adik segera menutup mulutku dengan kedua-dua belah tangannya lalu berkata, "Jangan menangis kak, semuanya dah berlalu!"

Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela adik. Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan aku bagaikan baru semalam berlaku.

Adik mendapat tawaran belajar ke sekolah berasrama penuh dan aku pula ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat pra-universiti.

Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah bersama ibu di ruang tamu. Aku terdengar ayah berkata,

"Zah, kedua-dua anak kita cemerlang dalam pelajaran. Abang bangga sekali!"

"Tapi apalah maknanya bang...!" aku terdengar ibu teresak-esak.

"Dimana kita nak cari duit membiayai mereka?"

Ketika itulah adik keluar dari biliknya. Dia berdiri di depan ayah dan ibu.

"Ayah, saya tak mahu ke sekolah lagi!"

Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnya dan merenung wajah emak, kemudian wajah adik dalam-dalam. Panggggg.... sebuah penampar singgah di pipi adik.

Seperti biasa yang mampu aku lakukan ialah menutup muka dan menangis.

"Kenapa kamu ni? Tahu tak, kalau ayah terpaksa mengemis kerana persekolahan kamu, ayah akan lakukan!"

"Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak, dia takkan dapat membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan," aku memujuk adik tatkala menyapu minyak pada pipinya yang bengkak.

"Kakak perempuan... biarlah kakak yang berhenti."

Tiada siapa yang menyangka, dinihari itu adik tiada dibiliknya. Dia membawa bersamanya beberapa helai baju lusuh yang dia ada. Di atas pangkin tempat dia lelapkan mata, terdapat sehelai kertas yang tercatat....

"Kak...untuk dapat peluang ke universiti bukannya mudah. Saya cari kerja dan akan kirim wang buat akak."

Apa lagi yang Aku tahu selain meraung. Ayah termenung, jelas dia cukup kecewa. Begitu juga emak yang menggunakan air matanya memujuk ayah.

Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik menerpa " Ada pemuda kampung tunggu kau kat luar!"

"Pemuda kampung?" bisikku. "Siapa?"

Tergesa-gesa aku keluar bilik. Dari jauh aku nampak adik berdiri dengan pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen.

"Kenapa sebut orang kampung, sebutlah adik yang datang!"

Sambil tersenyum dia menjawab, "Akak lihatlah pakaian adik ni. Apa yang akan kawan-kawan akak kata kalau mereka tahu saya adik kakak?"

Jantungku terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya. Aku cukup tersentuh. Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi. Aku kibas-kibas bebutir pasir dan tompokan simen pada pakaian adik.

Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara, "Akak tak peduli apa orang lain kata."

Dari kocek seluarnya, adik keluarkan sepit rambut berbentuk kupu-kupu. Dia mengenakan pada rambutku sambil berkata, "Kak, saya tengok ramai gadis pakai sepit macam ni, saya beli satu untuk akak."

Aku kaku. Sepatah kata pun tak terucap. Aku rangkul adik dan dadanya dibasahi air mataku yang tak dapat ditahan-tahan.

Tamat semester, aku pulang ke kampung sementara menunggu konvokesyen. Aku lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti selalu.

"Emak,tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya balik."

"Adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya luka-luka."

Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik. Kami berdakapan.

"Sakit ke?" aku bertanya tatkala memeriksa luka pada tangannya.

"Tak... Kak tahu, semasa bekerja sebagai buruh kontrak, kerikil dan serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang masa. Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha saya untuk bekerja keras."

Apalagi...aku menangis seperti selalu.

Aku berkahwin pada usia menginjak 27 tahun. Suamiku seorang usahawan menawarkan jawatan pengurus kepada adik.

"Kalau adik terima jawatan tu, apa kata orang lain?" kata adik. "Adik takde pelajaran. Biarlah adik bekerja dengan kelulusan yang adik ada."

"Adik tak ke sekolah pun kerana akak." kata ku memujuk.

"Kenapa sebut kisah lama, kak?" katanya ringkas, cuba menyembunyikan kesedihannya.

Adik terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani setelah ayah tiada. Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis sekampung, juruacara majlis bertanya, "Siapakah orang yang paling anda sayangi?"

Spontan adik menjawab, "Selain emak, kakak saya" katanya lantas menceritakan suatu kisah yang langsung tidak ku ingati.

"Semasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke sekolah. Suatu hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya memakai kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada saya. Dia berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah saya lihat kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan calar-balar "

"Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri. Saya akan lakukan apa saja demi kebahagiaan kakak saya itu. Saya berjanji akan menjaganya sampai bila-bila."

Sebaik adik tamat bercerita, aku meluru ke pelamin, mendakap adik sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria. Dan air mataku tumpah lagi...


Sekian...

Thursday, March 26, 2009

Test Bombastik!


Terkezut (terkejut yang tersangat) bila tiba-tiba dapat khabar dalam masa sejam lagi ada test subjek
Gejala Sosial. Aku yang tak bawak ape-ape nota untuk "baca last minute" (sebab tak tau pun ade test hari ni. Dan kenyataannya kebanyakan orang akademi terutamanya muslimin memang 'minat' baca last minute) mula la cempera bewak (gelabah yang tersangat). Di tangan aku cuma ada nota Islamic Historiografy. Aku cuba kontrol penafasan dan tingkah laku walaupun tak boleh dikategorikan sebagai 'kontrol macho', supaya orang tak nampak aku tengah cempera bewak, atau dengan istilah yang lebih murni, orang akan nampak aku macam ilmu penuh di dada. Masuk dalam kelas, pensyarah dengan muka selambanye menempik...keluarkan kertas A4. Salin soalan... "Huraikan faktor ikhtiari dalam konteks gejala sosial yang mempengaruhi manusia saban waktu dan tidak mengira tempat...". Huh, cam berbelit je soalan. 10 minit aku berfikir ape bende faktor ikhtiari ni. Macam pernah ku baca, tapi di mana yaaa... Tetiba idea datang... ikhtiar ni usaha manusia, betul ngak? Kalau datang daripada Allah, itu qadarnya, benar ngak? plap !!! (bukan bunyi kena tempeleng oleh pensyarah, tapi bunyi aku yang petik jari)

Mula la aku 'goreng' ayat...siap 2 muka surat. Malas nak tulis panjang-panjang. (sebab aku takde kertas A4 lebih.heh. memang ni la feel pelajar akademi terutamanya muslimin. Ade jugak spesies yang langsung tak bawak kertas A4 ke kelas. Hampeh !). Apa yang aku tulis? Lebih kurang macam ni la...

Kalau Allah ada ketetapannya yang mempengaruhi manusia yang disebut sebagai Faktor Qadari, Allah juga memberi kebebasan kepada manusia untuk memilih sama ada mahu menurut syariat Allah atau tidak. Kebebasan memilih inilah yang diertikan sebagai faktor ikhtiari. Namun Allah bukan sekadar memberi ruang manusia untuk membuat pilihan melainkan Allah juga menyertakan balasan dan ganjaran atas apa yang seseorang itu lakukan.

Isyyy...apehal ayat skema sangat ayat nih... Kemudian aku gorenglah dengan nas-nas daripada al-Quran dan hadith yang mana aku ingat. Aku sambung lagi...

Faktor ikhtiari ini dipengaruhi oleh pelbagai perkara. For example, hawa nafsu, penyakit gila dunia, jahil termasuk jahil murakkab, bodoh sombong dan segala jenis dungu yang ada di muka bumi ni, terpengaruh dengan budaya barat yang berkarat (kalau ditonyoh dengan klorox pun x keluaq dah), dan lemah iman serta mujahadah.

Ade ke kita termasuk dalam golongan-golongan ni? Tentu la ade. Sebab kita bukan maksum pun. Tapi kalau yang selalu beringat dengan mati dan akhirat, maka takde la terkesan sangat perkara-perkara yang mempengaruhi ni. Cuma time terlupa mati dan akhirat tu la yang terjebak jugak walau sikit. Hampeh !!!

Apa pun, selamat la aku dapat habiskan jugak test tu dengan tak berapa jayanya sebab tak cukup persediaan...

Haaa!!! cakap tentang test lagi... Kelmarin ade la 'teman fillah' aku tak dapat buat test dia dengan baik. So teman fillah aku tu pun mengadu la kat aku, menyesal pulak dia rasa dengan diri dia sebab tak bersedia dari awal... Dalam hati aku kata, aku pun sama ja, tak reti bersedia awal. Contohnya macam kisah yang terjadi hari ni la... So, lepas teman fillah aku tu mengadu, aku pun sebagai teman fillah dia pulak, bagi la word of wisdom untuk dia. Kata aku...

Ni baru test dunia... Hakikatnya lani kita dalam test akhirat ni... Kita rasa kecewa sebab kita tak dapat bagi jawapan terbaik dalam test dunia. Adakah kita rasa kecewa juga sebab tak dapat bagi 'jawapan' yang terbaik untuk test akhirat kita? Bersabarlah, kerana kekecewaan dunia akan terhenti setakat di dunia. Sedangkan kekecewaan di akhirat tu jauh lebih besar...

Korang faham ke maksud aku? Maksudnya, adakah korang dah buat yang terbaik dalam menjalankan amanah korang sebagai khalifah Allah di muka bumi ni? Kalau korang rasa korang masih belum beri jawapan yang terbaik talam test akhirat (buat yang terbaik sebagai khalifah Allah di muka bumi ni), maka korang sempat lagi nak betulkan dengan 'liquid taubat' tak pun korang terus je potong 'jawapan' yang korang rasa tak memuaskan 'pemeriksa' kepada test akhirat tu iaitu Allah. Lebih baik korang perbetulkan cepat-cepat sebelum masa test ni yang akan 'tamat' pad bila-bila masa saja lagi!

(Setelah korang habis baca entri ni, korang tak dapati apa-apa pun yang bombastiknya. Ini disebabkan tajuk 'test bombastik' tu cuma retorik sebab tadi aku tengok satu iklan perniagaan. Ada orang jual 'Air Sirap Bombastik'. Ntah la apa yang bombastik sangat kat sirap dia tu. Cis, orang berniaga pun tau beretorik. Hampeh! Ok, roger and out !)

Wednesday, March 18, 2009

BiCaRa SeKuNtUm MaWaR bErDuRi


HAKIKAT KEHIDUPAN

Kehidupan ini umpama lilin
Menyala menerangi kegelapan
Setitis demi setitis membakar diri sendiri
Kehidupan ini
Perlukan pengorbanan dalam setiap perkara
Sengsara, derita, kecewa, sebagai balasan
Tapi semua itu sementara saja
Walaupun hati, perasaan cukup
Hebat, pedih dan gelora menempuhi semua itu
Bersabarlah wahai hati
Sesungguhnya semua itu menguji kesabaranmu
Yang akhirnya bila kau tempuhi dengan redha
Dia membayarmu dengan sesuatu yang tidak kau sangkakan
Kerana Dia Maha Mengatur yang Maha Hebat
Tetapi ingatlah tidak semua lilin
Mampu dan sanggup redahi semua itu
Hanya yang benar-benar kuat imannya
Yang sanggup menaiki gunung dugaan itu
Dengan sabar, tabah dan redha

INSAF

Ya Allah… ya Tuhanku…
Apakah masih ada ruang bagi Mu
Untuk memaafkan ku?
Untuk menerima taubat ku?
Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih…
Hamba Mu datang sujud dengan penuh rasa cinta dan sayang
tapi ya Allah… iman ku makin hari semakin lemah
wahai Tuhan Yang Maha Penyayang…
apakah tidak ada lagi rasa cinta Mu pada ku?
Apakah tidak ada lagi rahmat dan keberkatan Mu pada ku?
Apakah sudah hilang sayang Mu pada ku?
Ya Allah…
Sekiranya aku lalai, sedarkanlah daku
Andai aku lupa, ingatkanlah daku
Tapi ya Allah…
Jangan biarkan aku sendirian
Kerana aku hamba yang lemah
Ya Allah… ya Tuhanku…
Aku kata aku mencintai Mu
Tapi ya Allah, semakin hari aku semakin sibukkan dengan dunia
Aku telah tinggalkan tempat pertemuan kita selama ini
Aku telah lupa dengan janji temu kita sebelum ini
Ya Allah… apakah Kau tidak sudi lagi bertemu dengan ku
Dikala insan lain indah di ulit lena?
Wahai Tuhan Penjaga dan Pemilik hati…
Tetapkanlah hati ini dalam zuhud dunia, iman, dan taqwa pada Mu
Hadirkanlah rasa rindu yang melampau pada syurga milik Mu
Sebarkanlah rasa cinta yang teramat pada Mu yang Tuhan ku
Lembutkanlah hati ini dengan kalam agung Mu dan wasiat kekasih Mu
Bersihkanlah hati ini dari segala kekotoran dunia, fitnah lelaki, godaan syaitan dan hasutan iblis
Ya Allah… Tuhan sekalian alam…
Andai diri ku masih punya waktu
Biarlah Kau takdirkan diri ku WANITA SOLEHAH

CINTA

Cinta itu suatu perkara yang cukup indah

Tak dapat ditafsirkan
Tak boleh diungkapkan dengan kata-kata
Tak logik dibandingkan dengan sesuatu pun
Cintailah Allah
Nescaya Dia akan sentiasa menyintaimu
Cintailah Rasulullah
Nescaya ia tidak akan mengecewakanmu
Cintailah keluargamu
Nescaya dia akan sentiasa menolongmu
Cintailah sesama saudaramu
Nescaya bertambah mantap imanmu
Hari ini…
Cinta selalu wujud antara muda mudi
Cinta sentiasa ada antara kekasih dengan kekasih
Cinta tak pernah luput antara lelaki dengan perempuan
Bercintalah! Nescaya kamu akan bahagia
Bercintalah! Supaya kamu sentiasa gembira
Bercintalah! Tatkala umurmu masih ada
Tapi ingat….
Cinta itu buta tak bermata
Cinta itu tak kenal dosa pahala
Cinta itu raja tak bermaruah
Cintakan Allah jauhi larangannya
Cintakan Rasulullah turuti sunnahnya
Cintakan ibu bapa hormatilah mereka
Cintakan kekasih jagalah pergaulan
Supaya….
Cinta itu cinta sejati
Cinta itu kekal abadi
Cinta itu kita makhluk soleh solehah
Bercintalah!
Andaikata dialah nadi kehidupan
Supaya…
Hidup ini berjaya di dunia
Bangkit dengan megah di akhirat
Kerana cinta….
Hamba beriman bertaqwa
Suami mithali isteri mithaliah
Anak-anak soleh solehah
Kemudian….
Lahirnya kembali ke tempat abadi
Dan syurga sebaik-baik tempat kembali
Insyaallah…..

Sumbangan : Syu Soleha

JoM dAiE pEnAnG sEkALiAn, KiTa P...

Jemputan Menghadiri Himpunan Belia Muslim Pulau Pinang

Dengan segala hormatnya, saya sebagai wakil Jaringan Pemuda Da’wah Islamiyyah (JUNDIYY) menjemput pihak tuan untuk menghadiri Himpunan Belia Muslim Pulau Pinang menggantikan Simposium Bring Islam Back! (SBIB) yang sudah lama tidak dijalankan. Butir-butir program adalah seperti berikut:

Program: Himpunan Belia Muslim Pulau Pinang

Tarikh: 22 Mac 2009 (Ahad)

Masa: 8.30 pagi – 5.00 petang

Tempat: Dewan Seminar, Masjid Jamek Seberang Jaya, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang

Ucaptama: Ustaz Mohd Hafiz bin Haji Nordin – “Kesatuan Gerakan Belia Muslim Mendepani Cabaran Masakini”


2. Program ini adalah kesinambungan daripada SBIB yang sudah dua kali dijalankan di Al-Nahdhoh, Kubang Semang. Tujuan perhimpunan ini adalah untuk menyelaraskan kembali kesatuan gerakan-gerakan belia Islam di Pulau Pinang yang bersetuju menubuhkan badan gabungan sebagai pemangkin da’wah di bumi Pulau Pinang ini.


3. Pertukaran nama kepada Jaringan Pemuda Da’wah Islamiyyah (JUNDIYY) adalah bagi memudahkan lagi gerak kerja badan gabungan ini atas persetujuan Majlis Tertinggi sementara Sekretariat Bring Islam Back! (SBIB). Oleh itu, badan baru ini bukanlah organisasi baru tetapi merupakan badan gabungan yang melakukan gerak kerja da’wah dengan berkesan.


4. Setiap jemaah pemuda Islam diwajibkan menghantar sekurang-kurangnya 5 orang wakil terutama ahli Majlis Tertinggi jemaah bagi memudahkan keputusan yang dibuat sewaktu perhimpunan diadakan. Sebarang keputusan semasa perhimpunan adalah muktamad. Maklumbalas penyertaan mestilah dihantar melalui emel ke akucahaya@gmail.com atau SMS ke 013-4025770 pada atau sebelum 21 Mac 2009.


5. Semoga usaha jemaah pemuda Islam di Pulau Pinang yang kecil ini bakal memartabatkan lagi da’wah Islamiyyah yang semakin hari menerima tekanan yang maha dasyat. Golongan pemuda da’wah inilah yang bakal mencorak generasi Islam akan datang, sama ada mereka akan menjadi sekularis, liberalis, atau fasik. Sesungguhnya Allah s.w.t. bersama-sama orang yang yang benar.


Tuesday, March 17, 2009

ReLeVaNkAh kAhWiN mUdA ???


Kini aku di tahun akhir. Sahabat-sahabat seusia dah mula bising dengan baitul muslim (rumah tangga muslim). Di kolej, di akademi, di kafeteria, dalam bilik tidur, dalam bilik air, tak kisah la di mana jua, topik yang popular ketika ini diantaranya ialah nikah selepas
grad. Di akademi, subur program-program yang berkaitan dengan topik popular tue. Ramai yang 'kantoi' semasa mendaftar kursus pra-perkahwinan. Taulah aku mana sahabat-sahabat yang dah 'bersedia'.

Woha!

Dalam wacana ilmiah bertajuk "relevankah kahwin muda" anjuran budak2 Lajnah Dakwah, Dewan Kuliah Utama penuh sesak dengan peserta. Ada la dalam 500 orang walaupun wacana ilmiah tu dibuat pada waktu malam. bayangkan... betapa besar impact persoalan nikah muda ni di akademi ni. Masing-masing mencari
'track' untuk menuju ke gerbang pernikahan. So, tak payah la sembunyi-sembunyi muka wahai budak-budak akademi. Memang tak dapat dinafikan, perkara ni selalu bermain di minda budak-budak akademi. Dah terbukti pun, ada sahabat-sahabat yang bernikah dan beranak pinak.

Kenapa budak-budak akademi nak kahwin muda? ni kena bagi jawapan ala-ala akademik sikit. emmm...

Firstly, tau-tau je la kawasan kL ni, p mana pun ada godaan terutamanya perempuan. Nabi sendiri pun bersabda bahawa antara fitnah yang besar di akhir zaman ini ialah wanita. Choop! wanita-wanita sekalian jangan terasa pulak. Yang patut terasa ialah wanita yang tak jaga auratnya dan perlakuannya di depan ghair mahram (bukan muhrim). Saja je ajak kawan lelaki keluar bersiar-siar. Saja je melunakkan suara. Saja je study berdua-duaan. Tak cukup dengan godaan tu, ada la pulak kelab-kelab malam yang bersepah di sekitar kL termasuklah berhampiran dengan Uni Malaya. Dalam kelab-kelab tue, ada la spesies yang meliuk lentokkan badan mengikut irama lagu sampai meleleh air liur lelaki. Ini bukan cobaan! Ini betul-betul! So, nak elak maksiat beraja pada hati dan terzahir pada perlakuan, baik cepat-cepat nikah. Cari saluran yang diredhai. Tak gitu?

Secondly, nak lajukan gerakan dakwah. mungkin alasan ni hanya difahami orang yang berada di landasan dakwah. Apa lagi yang diharapkan orang-orang dakwah melainkan pernikahannya adalah untuk merancakkan lagi proses dakwah. Iyalah, makan pakai si suami diurus, maka si suami yang berat bebanan sebelm ini menjadi sedikit ringan. Tambah-tambah lagi si suami ni jenis aktivis dakwah 24 jam. Kesannya, dakwah akan bergerak lebih pantas. Selain itu, isterilah yang berperanan untuk memotivasikan si suami sekiranya berlaku masalah dalam dakwah. Beruntunglah lagi kalau dapat isteri yang kental dengan jiwa dakwah seperti karekter Nur Mumtazah dalam novel Syabab Musafir Kasih karya Fatimah Syarha.

In the other hand, nikah muda ni sebab 'perasan' diri dah cukup bersedia dan memenuhi kriteria orang yang wajib atau sunat bernikah. Maka buat apa la nak tunggu lama-lama. Siksa batin sendiri je tunggu lama-lama. Apatah lagi si lelaki ni dah peringkat wajib nikah. Ingat tak sakit ke? Kalau wanita-wanita nak tau, sakitnya macam antunna kena madu la. hua! Tapi lelaki yang kriteria sunat ni tak berapa rasa kot. heh. Hmmh... buat apa nak tunggu lama-lama kalau boleh dapat yang halal daripada bercinta tak tentu pasal, tempah maksiat hati setiap hari. Mana tak tempah maksiat hati, dok teringat orang yang ghair mahram tiap-tiap hari lebih daripada zikirullah lagi. Hampeh!

TAPI...Pesan ahli-ahli panel yang juga berpengalaman nikah muda...

Firstly, biar dah cukup bersedia dari sudut zahir mahupun batin. Jangan terburu-buru tanpa memikir panjang soal persediaan tu. Parah masa depan. Bahagia yang diharapkan, sengsara yang bertandang. Ha! aku ada juga member yang dah nikah hadapi masalah ni. Siapa tu tak jadi persoalan. Apa yang aku tahu, hubungan depa tu dah sampai nak bercerai-berai. Sesak duit tak cukup nak tampung makan pakai anak bini... Ha! ni nak tala (tunding@persalahkan) sapa? Macam mana nak selesaikan? Akhirnya, 'hutang' pada mak ayah dan mertua. Jangan main-main... kes berat ni.

Secondly, nak nikah biar dapat restu mak ayah. Mentang-mentang mak ayah tak benarkan kahwin muda, memandai kahwin di Thailand. Pantang aku orang yang kahwin lari atau kahwin senyap-senyap, lepas tu baru nak bagitau mak ayah. Ni lagi kes berat. Dah belakangkan mak ayah. Kalau mak ayah tak restu sampai mati, nak jawab macam mana dalam kubur? Ingat! Redha Allah terletak pada redha mak ayah kita. Hadith Nabi s.a.w. tue...

Lastly, Cukupkan dada dengan ilmu. Terutamanya ilmu agama bagi si lelaki. Tak kurang pula ilmu bagi si wanita. Sebab lelaki ni CEO rumah tangga dan wanita ni Pengurus rumah tangga. Ilmu psikologi kanak-kanak untuk didik zuriat nanti. Hmmm...bahagianya hidup jika rumahtangga berdiri dalam suasana tarbiyah ilmiyah. Tak bestnya kalau rumahtangga jauh dari suasana mendidik sebegitu. Anak-anak pula mendapat didikan yang betul dari ibu bapa yang memahami psikologi mereka. Anak-anak ibarat kain putih, perlu dicorakkan dengan celupan Allah (sibghatallah) agar suatu hari nanti, anak-anak inilah yang akan mengembalikan kemuliaan Islam. InsyaAllah...

(p/s: akademi yang dimaksudkan dalam entry ni ialah Akademi Pengajian Islam. Bukan akademi fantasia atau akademi al-Quran. Harap maklum.)

iDeA-iDeA pEnYaTuAn...


Minggu lepas, Ustazah Jaamiah memberikan aku sebuah solusi kepada suatu permasalahan dalam pengurusan. Boleh saja nak
apply dalam mana-mana pengurusan terutamanya pengurusan dakwah. Memang sudah lama apply style pengurusan ni, cuma tak sedar Rasulullah s.a.w. pernah ajar pengurusan ni...bila dah tahu Rasulullah s.a.w. pernah ajar, bertambah-tambahlah aku ambil perhatian padanya. Ustazah Jaamiah berceloteh : "pernah para sahabat bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang amalan apa yang terbaik untuk dilakukan, namun masing-masing mendapat jawapan berbeza. Ada yang diberi jawapan amalan yang terbaik ialah berjihad di jalan Allah atau berbakti kepada ibu bapa atau menuntut ilmu dan sebagainya. Mengapa Rasulullah s.a.w. beri jawapan berbeza-beza tentang amalan yang terbaik?"

"Sebab sahabat itu tak buat perkara itu, ustazah. Jadi Rasulullah s.a.w. beritahu perkara sesuatu itu sebagai amalan terbaik supaya orang tu buat perkara yang disabdakan baginda tue" jawab seorang pelajar.

Ustazah Jaamiah tersenyum lebar lalu menyambung celotehnya, "sebenarnya Rasulullah s.a.w. berkata kepada para sahabat mengikut apa yang sahabat itu rajin dan taat melaksanakan sebelum ini".

"Eh, buat apa Rasulullah s.a.w berpesan amalan yang sahabat tu dah rajin lakukan sebelum ini?" tanya seorang pelajar.

"Sebab...itulah potensi dan kemahuan yang sahabat tue ada. Maka, Rasulullah s.a.w. memperkukuhkan lagi potensi dan kemahuannya. Lihat, Rasulullah s.a.w. tak menyuruh atau tak menggalakkan seseorang itu melakukan sesuatu yang sahabat tue tak minat atau tak mahu atau tiada kemahiran dan tak rajin pula melakukannya. Cuba ambil satu contoh...kamu suka belai bulu kucing, tiba-tiba ayah kamu kata lebih baik belai ayam. kamu pun akan jadi tak selesa walaupun kamu ikut kamu kata ayah kamu tue. Contoh yang besar sikit...katakan kamu minat bersajak atau cenderung kepada sastera, tiba-tiba pensyarah kamu minta kamu ke makmal biologi untuk buat eksperimen bedah organ katak. Maunya tak selesa time tue".

Ah, aku dah nampak! Begitu juga perjuangan ni. Tak perlu persalahkan apa jua perjuangan yang dibawa sama ada dakwah, tarbiyah mahupun siasah. Masing-masing berhujah atas perjuangannya. Kadang-kadang aku pening dengan pelbagai kecenderungan sahabat-sahabat aku dan saling menyalahkan perjuangan orang lain...

Cukup! Cukup! Cukup!

Berjuanglah kamu atas apa yang kamu cenderung padanya. Jati diri kamu tidak akan hilang selagi kamu meletakkan Islam sebagai asas dan matlamat perjuangan. Teruskan perjuangan kamu. Kamu pilih cara jemaah tabligh, pergilah dan berjuanglah dengan jalan itu dengan bersungguh-sungguh. Kamu pilih cara jemaah beorganisasi, pergilah dan berjuanglah dengan jalan itu dengan bersungguh-sungguh. Begitu juga kamu berjuang atas sesuatu jalan atau isu, teruskan perjuangan itu. Fokus pada perjuangan kamu. Suatu hari nanti kita akan bertemu pada suatu titik perjuangan juga. Namun, hormatilah dan sokonglah perjuangan jemaah yang lain. Jangan memburuk-burukkan antara jemaah dakwah selagimana jemaah itu tidak bercanggah dengan syariat serta tidak pula membawa dosa.

Pecah! Pecah! Pecah!

Pecahkan ruyung(kejumudan) taadud(kepelbagaian) pemikiran ini. Berlapang dada dan terus tiupkan semangat kepada perjuangan jemaah yang lain walupun tak sebulu dengan kita dalam soal-soal furui'yah (cabang).

Tuesday, March 10, 2009

Engkau, Aku Berbeza… Namun Sama… (dikemaskini 18MAC09)


Aku berjuang di dalam majlis-majlis ilmu

Taman-taman syurga di dunia aku bertamu
Aku ingin melihat Muslim kembali gemilang
Melonjak tamadun kearifan
Menghancurkan kepompong kejahilan

Aku berjuang di lapangan sosial masyarakat
Menghulurkan tangan kepada yang tersesat
Menyalakan sedikit cahaya dalam kegelapan hidup
Menyuluh sinar bahagia buat fitrah insani
Dalam meniti fatamorgana tipuan duniawi

Aku berjuang menentang orde barat
Yang telah merosakkan pemikiran umat
Dengan segala kekuatan aku kerahkan
Mengembalikan umat kepada jalan Allah
Menghapuskan lorong busuk yang memusnah

Aku berjuang bersama pemimpin zaman
Menegakkan yang hak meruntuhkan kezaliman
Walau hanya jalan raya, speaker corner medan
Walau gas pemedih mata aku berhadapan
Bedalan cota & penjara aku tidak tidak hairan

Aku berjuang dengan tinta dan pena
Novel, artikel, blog, lirik , apa jua
Penaku lebih tajam daripada mata pedang
Menghiris dan memotong kebatilan
Moga terbuka hati dan minda memikirkan

Aku berjuang dengan kalam bicara
Setiap patah aku salurkan dakwah semata
Menyentuh hati-hati yang rindukan kebaikan
Lantang mengoyak bicara munafik
Yang menipu, memungkiri janji dan bercabang lidahnya

Aku berjuang semampu kudrat
Menjuarai kesemua tak mungkin ku dapat
Untuk memenangi semua kita harus sepakat
Dalam perjuangan pelbagai penjuru
Ada matlamat kita yang SATU…