Friday, September 5, 2008

Anda Tak Qiam Ramadhan? Ruginyaaa...

1. Dalilnya:

a. Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa mendirikan solat malam di bulan Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala (dari Allah nescaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu." (Hadits Muttafaq 'Alaih)

b. Dari Abdurrahman bin Auf r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. menyebut bulan Ramadhan lalu bersabda: "Sungguh, Ramadhan adalah bulan yang diwajibkan Allah puasanya dan kusunatkan solat malamnya. Maka barangsiapa menjalankan puasa dan solat malam pada bulan itu kerana iman dan mengharap pahala, niscaya bebas dari dosa-dosa seperti saat ketika dilahirkan ibunya." (HR. An-Nasa'i, katanya: yang benar adalah dari Abu Hurairah). Menurut Al Arna'uth dalam "Jaami'ul Ushuul", juz 6, hlm. 441, hadits ini hasan dengan adanya nas-nas lain yang memperkuatnya.

2. Hukumnya:

Qiyam Ramadhan (solat malam Ramadhan) hukumnya sunnah mu'akkadah (ditekankan), ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. dan beliau anjurkan serta sarankan kepada kaum Muslimin. Juga diamalkan oleh Khulafa' Rasyidin dan para sahabat dan tabi'in. Kerana itu, sepatutnya seorang muslim hendaklah sentiasa mengerjakan solat tarawih pada bulan Ramadhan dan solat malam pada sepuluh malam terakhir, untuk mendapatkan Lailatul Qadar.

3. Keutamaannya:

Qiyamullail (solat malam) disyariatkan pada setiap malam sepanjang tahun. Keutamaannya besar dan pahalanya banyak. Firman Allah Ta'ala:

"Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya ''(Maksudnya mereka tidak tidur di waktu biasanya orang tidur, untuk mengejakan solat malam), sedang mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan harap, dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka." (As-Sajdah: 16).

Ini merupakan sanjungan dan pujian dari Allah bagi orang-orang yang mendirikan solat tahajjud di malam hari. Dan sanjungan Allah kepada kaum lainnya dengan firman-Nya:

"Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam; dan di akhir-akhir malam mereka momohon ampun (kepada Allah)." (Adz-Dzaariyaat: 17-18).

"Dan orang-orang yang melalui malam hari dengan bersujud dan berdiri untuk Tuhan mereka." (Al-Furqaan: 64).

Diriwayatkan oleh At-Tirmidzi (dengan mengatakan: Hadits ini hasan shahih dan hadits ini dinyatakan shahih oleh Al-Hakim) dari Abdullah bin Salam, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Wahai sekalian manusia, sebarkan salam, berilah orang miskin makan, sambungkan tali kekeluargaan dan solatlah pada waktu malam ketika semua manusia tidur, niscaya kamu masuk Syurga dengan selamat."

Juga diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dari Bilal, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Hendaklah kamu mendirikan solat malam kerana itu tradisi orang-orang shalih sebelum mu. Sungguh, solat malam mendekatkan dirimu kepada Tuhanmu, menghapuskan kesalahan, menjaga diri dari dosa dan mengusir penyakit dari tubuh" (Hadits ini dinyatakan shahih oleh Al-Hakim dan Adz-Dzahabi menyetujuinya, 1/308),

Dalam hadits kaffarah dan darjat, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Dan termasuk darjat: memberi makan, berkata baik, dan mendirikan solat malam ketika orang-orang tidur: dinyatakan shahih oleh Al-Bukhari dan At-Tirmidzi)" (Lihat kitab Wazhaa'ifu Ramadhan, oleh Ibnu Qaasim, hlm. 42, 43.)

Dan sabda Rasulullah s.a.w.: "Sebaik-baik solat setelah fardhu adalah solat malam." (HR. Muslim).

4. Bilangannya:

Termasuk solat malam: witir, paling sedikit satu raka'at dan paling banyak 11 raka'at. Boleh melakukan witir dengan satu raka'at saja, berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.: "Barangsiapa yang ingin melakukan witir dengan satu raka'at maka lakukanlah." (HR. Abu Dawud dan An-Nasa'I).

Atau witir dengan tiga raka'at, berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.: "Barangsiapa yang ingin melakukan witir dengan tiga raka 'at maka lakukanlah." (HR. Abu Dawud dan An-Nasa'i). Hal ini boleh dilakukan dengan sekali salam, atau solat dua raka'at dan salam kemudian solat raka'at ketiga.

Atau witir dengan lima raka'at, dilakukan tanpa duduk dan tidak salam kecuali pada akhir raka'at. Berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.: "Barangsiapa ingin melakukan witir dengan lima raka'at maka lakukanlah." (HR. Abu Dawud dan An-Nasa'i).

Dari Aisyah radhiallahu'anha, beliau mengatakan: "Rasulullah s.a.w. biasanya solat malam tiga belas raka'at, termasuk di dalamnya witir dengan lima raka 'at tanpa duduk di salah satu raka'at pun kecuali pada raka'at terakhir." (Hadits Muttafaq 'Alaih). 'Ketiga hadits tersebut dinyatakan shahih oleh Ibnu Hibban.

Atau witir dengan tujuh raka'at; dilakukan sebagaimana lima raka'at. Berdasarkan penuturan Ummu Salamah radhiallahu'anha: "Rasulullah s.a.w. biasanya melakukan witir dengan tujuh dan lima raka'at tanpa diselingi dengan salam dan ucapan." (HR, Ahmad, An-Nasa'i dan Ibnu Majah).

Boleh juga melakukan witir dengan sembilan, sebelas, atau tiga belas raka'at. Dan yang afdhal adalah salam setiap dua rakaat kemudian witir dengan satu raka'at.

Solat malam pada bulan Ramadhan memiliki keutamaan dan keistimewaan atas solat malam lainnya.

5. Waktunya:

Solat malam Ramadhan mencakupi solat pada permulaan malam dan pada akhir malam.

6. SolatTarawih:

Solat tarawih termasuk qiyam Ramadhan. Kerana itu, hendaklah bersungguh-sungguh dan memperhatikannya serta mengharapkan pahala dan balasannya dari Allah. Malam Ramadhan adalah kesempatan yang terbatas bilangannya dan orang mu'min yang berakal akan memanfaatkannya dengan baik tanpa melewatkannya.

Jangan sampai ditinggalkan solat tarawih, agar memperoleh pahala dan ganjarannya. Dan jangan pulang dari solat tarawih sebelum imam selesai darinya dan dari solat witir, agar mendapatkan pahala solat semalam suntuk.

Hal ini didasarkan pada sabda Rasulullah s.a.w.: "Barangsiapa mendirikan solat malam bersama imam sehingga selesai, dicatat baginya solat semalam suntuk." (HR. Para penulis kitab Sunan, dengan sanad shahih) (Lihat kitab Majalisu Syahri Ramndhan, oleh Syaikh Ibnu Utsaimin, hlm. 26-30.)

Solat tarawih adalah sunat, dilakukan dengan berjamaah lebih utama. Demikian yang masyhur dilakukan para sahabat, dan diwarisi oleh umat ini dari mereka generasi demi generasi. Solat ini tidak ada batasannya. Boleh melakukan solat 20 raka'at, 36 raka'at, 11 raka'at, atau 13 raka'at; semuanya baik. Banyak atau sedikitnya raka'at tergantung pada panjang atau pendeknya bacaan ayat. Dalam solat diminta supaya khusyu', bertuma'ninah, dihayati dan membaca dengan perlahan; jangan tergesa-gesa. Jika begitu, lebih baik apabila solat tersebut hanya dilakukan 11 raka'at.

Iaitu berdasarkan hadits Aisyah radiallahu'anha yang ertinya: "Tiadalah Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam menambah (rakaat), baik di bulan Ramadhan atau (di bulan) lainya lebih dari sebelas rakaat". (HR. Al-Bukhari dan An-Nasa'i)

7. Membaca Al-Qur'anul Karim Di Bulan Ramadhan dan Bulan Lain

Adalah ditekankan bagi seorang muslim yang mengharap rahmat Allah dan takut akan siksaNya untuk memperbanyak membaca Al-Qur'anul Karim pada bulan Ramadhan dan bulan-bulan lainnya untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala, mengharap redhaNya, memperoleh keutamaan dan pahalaNya. Kerana Al-Qur'anul Karim adalah sebaik-baik kitab, yang diturunkan kepada Rasul termulia, untuk umat terbaik yang pernah dilahirkan kepada umat manusia; dengan syari'at yang paling utama, paling mudah, paling luhur dan paling sempurna.

Al-Qur'an diturunkan untuk dibaca oleh setiap orang muslim, direnungkan dan difahami makna, perintah dan larangannya, kemudian diamalkan. Sehingga ia akan menjadi hujjah baginya di hadapan Tuhannya dan pemberi syafa'at baginya pada hari Kiamat.

Allah telah menjamin bagi siapa yang membaca Al-Qur'an dan mengamalkan isi kandungannya tidak akan tersesat di dunia dan tidak celaka di akhirat, dengan firmanNya:

"Maka barangsiapa yang mengikuti petunjuk-Ku, ia tidak akan sesat dan tidak akan celaka." (Thaha:123),

Janganlah seorang muslim memalingkan diri dari membaca kitab Allah, merenungkan dan mengamalkan isi kandungannya. Allah telah mengancam orang-orang yang memalingkan diri darinya dengan firman-Nya:

"Barangsiapa berpaling dari Al-Qur'an maka sesungguhnya ia akan memikul dosa yang besar di hari Kiamat." (Thaha: 100),

"Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari Kiamat dalam keadaan buta." (Thaha: 124),

Di antara Keutamaan Al-Qur'an:

1. Firman Allah Ta'ala: "Dan Kami turunkan kepadamu Al-Kitab (Al-Qur'an) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri." (An-Nahl: 89),

2. Firman Allah Ta'ala: ".... Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah, dan kitab yang menerangkan. Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredhaanNya ke jalan keselamatan, dan (dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari gelap gulita kepada cahaya yang terang benderang dengan izinNya dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus." (Al-Ma'idah: 15-16).

3. Firman Allah Ta'ala: "Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman." (Yunus: 57).

4. Sabda Rasulullah s.a.w.: "Bacalah Al-Qur'an, kerana ia akan datang pada hari Kiamat sebagai pemberi syafa'at bagi pembacanya." (HR. Muslim dari Abu Umamah).

5. Dari An-Nawwas bin Sam'an r.a., katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Didatangkan pada hari Kiamat Al-Qur'an dan para pembacanya yang mereka itu dahulu mengamalkannya di dunia, dengan didahului oleh surah Al Baqarah dan Ali Imran yang membela pembaca kedua surah ini." (HR, Muslim).

6. Dari Utsman bin Affan r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari Al-Qur'an dan mengajarkannya." (HR. Al-Bukhari)

7. Dari Ibnu Mas'ud r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa membaca satu huruf dari kitab Allah maka baginya satu kebaikan, dan satu kebaikan itu dibalas sepuluh kali lipatnya. Aku tidak mengatakan alif lam mim itu satu huruf; tetapi alif satu huruf; lam satu huruf dan mim satu huruf." (HR. At-Tirmidzi, katanya: hadits hasan shahih).

8. Dari Abdullah bin Amr bin Al 'Ash r.a.ma, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Dikatakan kepada pembaca Al-Qur'an: "Bacalah, naiklah dan bacalah dengan perlahan sebagaimana yang telah kama lakukan di dunia, kerana kedudukanmu adalah pada akhir ayat yang kamu baca." (HR. Abu Dawud dan At-Tirmidzi dengan mengatakan: hadits hasan shahih).

9. Dari Aisyah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Orang yang membaca Al-Qur'an dengan mahir adalah bersama para malaikat yang mulia lagi taat, sedangkan orang yang membaca Al-Quran dengan tergagap dan susah membacanya baginya dua pahala." (Hadits Muttafaq 'Alaih).

Dua pahala, yakni pahala membaca dan pahala susah payahnya.

10. Dari Ibnu Umar r.a, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tidak boleh hasut kecuali dalam dua perkara, iaitu: orang yang dikurniai Allah Al-Qur'an lalu diamalkannya pada waktu malam dan siang, dan orang yang dikurniai Allah harta lalu diinfakkannya pada waktu malam dan siang" (Hadits Muttafaq 'Alaih).

Yang dimaksud hasut di sini iaitu mengharapkan seperti apa yang dimiliki orang lain. (Lihat kitab Riyadhus Shaalihiin, hlm. 467-469.)

Maka bersungguh-sungguhlah semoga Allah menunjuki anda kepada jalan yang diredhaiNya untuk mempelajari Al-Qur'anul Karim dan membacanya dengan niat yang ikhlas untuk Allah Ta'ala. Bersungguh-sungguhlah untuk mempelajari maknanya dan mengamalkannya, agar mendapatkan apa yang dijanjikan Allah bagi para ahli Al-Qur'an berupa keutamaan yang besar, pahala yang banyak, darjat yang tinggi dan kenikmatan yang abadi. Para sahabat Rasulullah s.a.w. dahulu jika mempelajari sepuluh ayat dari Al-Qur'an, mereka tidak melaluinya tanpa mempelajari makna dan cara pengamalannya.

Dan perlu anda ketahui, bahawa membaca Al-Qur'an yang berguna bagi pembacanya, iaitu membaca disertai merenungkan dan memahami maknanya, perintah-perintahnya dan larangan-larangannya. Jika ia menjumpai ayat yang memerintahkan sesuatu maka ia pun mematuhi dan menjalankannya, atau menjumpai ayat yang melarang sesuatu maka iapun meninggalkan dan menjauhinya. Jika ia menjumpai ayat rahmat, ia memohon dan mengharap kepada Allah rahmat-Nya; atau menjumpai ayat azab, ia berlindung kepada Allah dan takut akan siksaNya. Al-Qur'an itu menjadi hujjah bagi orang yang merenungkan dan mengamalkannya; sedangkan yang tidak mengamalkan dan memanfaatkannya maka Al-Qur'an itu menjadi hujjah terhadap dirinya (mencelakainya). Firman Allah Ta'ala:

"lni adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatNya dan supaya orang-orang yang mempunyai fikiran mendapatkan pelajaran." (Shad: 29).

Bulan Ramadhan memiliki kekhususan dengan Al-Qura'nul Karim, sebagaimana firman Allah: "Bulan Ramadhan, yang di dalamnya diturunkan permulaan Al-Qur'an...." (Al-Baqarah: 185).

Dan dalam hadits shahih dari Ibnu Abbas, Rasulullah s.a.w. bertemu dengan Jibril pada bulan Ramadhan setiap malam untuk membacakan kepadanya Al-Qur'anul Karim.

Hal itu menunjukkan dianjurkannya mempelajari Al-Qur'an pada bulan Ramadhan dan berkumpul untuk itu, juga membacakan Al-Qur'an kepada orang yang lebih hafal. Dan juga menunjukkan dianjurkannya memperbanyak bacaan Al-Qur'an pada bulan Ramadhan.

Tentang keutamaan berkumpul di masjid-masjid untuk mempelajari Al-Qur'anul Karim, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tidaklah berkumpul suatu kaum di salah satu rumah Allah seraya membaca kitab Allah dan mempelajarinya di antara mereka, kecuali turunlah ketenangan atas mereka, serta mereka diliputi rahmat, dikerumuni para malaikat dan disebut-sebut oleh Allah kepada para malaikat di hadapan-Nya." (HR. Muslim).

Ada dua cara untuk mempelajari Al-Qur'anul Karim:

1. Membaca ayat yang dibaca sahabat anda.
2. Membaca ayat sesudahnya. Namun cara pertama lebih baik.

Dalam hadits Ibnu Abbas di atas disebutkan pula mudarasah antara Rasulullah dan Jibril terjadi pada malam hari. Ini menunjukkan dianjurkannya banyak-banyak membaca Al-Qur'an di bulan Ramadhan pada malam hari, kerana malam merupakan waktu berhentinya segala kesibukan, kembali terkumpulnya semangat dan bertemunya hati dan lisan untuk merenungkan. Seperti dinyatakan dalam firman Allah:

"Sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyu '), dan bacaan di waktu itu lebih berkesan." (Al-Muzzammil: 6).

Disunatkan membaca Al-Qur'an dalam kondisi sesempurna mungkin, yakni dengan bersuci, menghadap kiblat, mencari waktu-waktu yang paling utama seperti malam, setelah maghrib dan setelah fajar.

Boleh membaca sambil berdiri, duduk, tidur, berjalan dan menaiki kendaraan. Berdasarkan firman Allah:

"(Iaitu) orang-orang yang zikir kedada Allah sambil berdiri, atau duduk, atau dalam keadaan berbaring…." (Ali 'Imran: 191).

Sedangkan Al-Qur'anul Karim merupakan zikir yang paling agung.

7.1. Kadar Bacaan yang Disunatkan

Disunatkan mengkhatamkan Al-Qur'an setiap minggu, dengan setiap hari membaca 1/7 dari Al-Qur'an dengan melihat mushaf, kerana melihat mushaf merupakan ibadah. Juga mengkhatamkannya kurang dari seminggu pada waktu-waktu yang mulia dan di tempat-tempat yang mulia, seperti: Ramadhan, Dua Tanah Suci dan sepuluh hari Zulhijjah kerana memanfaatkan waktu dan tempat.

Jika membaca Al-Qur'an khatam dalam setiap tiga hari pun baik, berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. kepada Abdullah bin Amr: "Bacalah Al-Qur'an itu dalam setiap tiga hari" (Lihat kitab Fadhaa'ilul qur'an, oleh Ibnu Katsir, hlm. 169-172 dan Haasyiatu Muqaddimatit Tafsiir, oleh Ibnu Qaasim, hlm. 107.)

Dan makruh menunda khatam Al-Qur'an lebih dari empat puluh hari, bila hal tersebut dikhuwatirkan membuatnya lupa. Imam Ahmad berkata: "Betapa berat beban Al-Qur'an itu bagi orang yang menghafalnya kemudian melupakannya." Dilarang bagi yang berhadats kecil mahupun besar menyentuh mushaf, dasarnya firman Allah Ta'ala: "Tidak menyentuhnya kecuali hamba-hamba yang disucikan." (Al-Waqi'ah: 79).

Dan sabda Rasulullah s.a.w.: "Tidak dibenarkan menyentuh Al-Qur'an ini kecuali orang yang suci." (HR. Malik dalam Al-Muwaththa, Ad-Daruquthni dan lainnya)" (Hal ini diperkuat hadits Hakim bin Hizam yang lafazhnya: "Jangan menyentuh Al-qur'an kecuali jika kamu suci." (HR. Ath-Thabrani dan Al-Hakim dengan menyatakannya shahih).

7.2. Hukum Melagukan Al-Qur'an

Pembaca dan pendengar Al-Qur'an yang hatinya disibukkan dengan lagu dan sejenisnya yang dapat mengakibatkan perubahan firman Allah, padahal kita diperintahkan untuk memperhatikannya sebenarnya menghalang hatinya dari apa yang dikehendaki Allah dalam kitab-Nya, memutuskannya dari pemahaman firman-Nya. Maha suci firman Allah dari hal itu semua. Imam Ahmad melarang talhin dalam membaca Al-Qur'an, iaitu yang menyerupai lagu, beliau berkata: "Itu bid'ah".

Ibnu Katsir rahimahullah dalam Fadhaa 'ilul Qur'an mengatakan: "Sasaran yang diminta menurut syara' tiada lain iaitu memperindah suara yang dapat mendorong untuk merenungkan dan memahami Al-Qur'an yang mulia dengan khusyu', tunduk, dan patuh penuh ketaatan. Adapun suara-suara dengan lagu yang diada-adakan yang terdiri atas nada dan irama yang melalaikan, serta aturan muzik, maka Al-Qur'an adalah suci; dari hal ini dan tak layak jika dalam membacannya diperlakukan demikian." (Lihat kitab Fadhaa'ilul qur'an, oleh Ibnu Katsir, hlm. 125-126.)

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah mengatakan: "Irama-irama yang dilarang para ulama untuk membaca Al-Qur'an iaitu yang dapat memendekkan huruf yang panjang, memanjangkan yang pendek, menghidupkan huruf yang mati dan mematikan yang hidup. Mereka lakukan hal itu supaya sesuai dengan irama lagu-lagu yang merdu. Jika hal itu dapat mengubah aturan Al-Qur'an dan menjadikan harakat sebagai huruf, maka haram hukumnya. (Lihat Haasyiatu Muqaddimatit Tafsiir, oleh Ibnu Qaasim, hlm. 107.).

0 comments: